MAIDAM agih RM101.3 juta wang zakat dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini

08/06/2021 12:33 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Jun -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan sejumlah RM101.3 juta wang zakat dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM M Rozi Bidin berkata kesemua bantuan itu diagihkan melalui 10 inisiatif khas yang dilaksanakan MAIDAM secara berterusan sejak Januari lepas.

"Antara penerima bantuan ialah pemandu teksi, penarik beca, penjaja dan tukang kasut yang menerima sumbangan barangan keperluan sempena Ramadan.

"Selain itu, MAIDAM juga mengagihkan bantuan pelitup muka dan barang keperluan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia yang dikenakan kuarantin di asrama ketika peperiksaan itu berlangsung," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagi melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula, Rozi berkata pihaknya turut memberi tablet kepada anak asnaf melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM.

"Terbaru, seramai 21,492 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu penerima bantuan khas zakat MAIDAM akan menerima bantuan sebanyak RM200 agar dapat meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

"Bantuan ini akan disalurkan terus ke akaun penerima secara berperingkat mulai bulan ini dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM4,298,400. Diharapkan bantuan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh asnaf untuk membeli barangan keperluan harian terutama barangan makanan asas," kata Rozi.

Bantuan khas itu juga telah disalurkan kepada 1,098 golongan asnaf tinggal di Besut ketika daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 22 Mei lepas melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM219,600.

Rozi berkata MAIDAM sangat berterima kasih kepada semua pembayar zakat di Terengganu kerana ramai golongan sasar telah menerima manfaat agihan bantuan tersebut.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan