Pertumbuhan IPI Malaysia dijangka menurun disebabkan sekatan - Moody's Analytics

11/06/2021 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Moody’s Analytics menjangkakan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia akan menurun pada bulan-bulan akan datang akibat daripada langkah-langkah sekatan yang lebih ketat termasuk batasan dalam kapasiti pengeluaran, yang merencatkan output.

Penganalisis maklumat dan alat kewangan itu berkata ini berlaku susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan baru-baru ini.

IPI Malaysia meningkat 50.1 peratus dari tahun ke tahun pada April, menokok daripada kenaikan 9.3 peratus yang dicatatkan semasa Mac.

Moody's Analytics dalam satu nota hari ini berkata perbezaan yang agak ketara ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah dari tahun lepas (-32.10 peratus), bagaimanapun dengan mengambil kira perbandingan tahun asas yang rendah, jumlah pengeluaran perindustrian sebenarnya surut 4.5 peratus dari bulan ke bulan.

"Pemfaktoran perbandingan tahun asas yang rendah, kemerosotan pengeluaran perindustrian dalam ketiga-tiga kategori termasuk kejatuhan output dalam perlombongan, hasilnya adalah sejajar dengan penurunan nilai eksport produk pembuatan sebanyak RM300 juta pada April," kata firma penyelidikan itu.

Output pembuatan semua kategori telah pulih sepenuhnya, menokok 68 peratus dari tahun ke tahun. Pengeluaran makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.3 peratus dari bulan ke bulan semasa bulan Ramadan, yang berlangsung dari April hingga Mei. 

Pengeluaran tekstil dan pakaian pada Mac menyumbang kepada penyusutan 19.6 peratus dari bulan ke bulan pada April manakala produk elektrik dan elektronik naik dalam kedua-dua penggal bulanan serta tahunan, berikutan permintaan global yang kukuh untuk semikonduktor yang amat penting dalam barangan pengguna berteknologi tinggi, katanya.

"Walaupun pengeluaran perdagangan dan perindustrian telah mengatasi jangkaan setakat ini, kita perlu mengawasi risiko ketidaktentuan dan kelemahan yang semakin bertambah, yang mungkin akan menggugat tingkatan pemulihan Malaysia," katanya.

Malaysia mengenakan sekatan penuh selama dua minggu sehingga 14 Jun ini, dengan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

"Memandangkan PKP dan sekatan yang dikenakan, kita menjangkakan pertumbuhan pengeluaran perindustrian Malaysia akan mereda pada bulan-bulan akan datang akibat langkah-langkah sekatan yang lebih ketat sehingga mengehadkan kapasiti pengeluaran, yang seterusnya, menjejaskan output.

"Kebimbangan utama ialah berapa banyak pengeluaran perindustrian akan terjejas oleh kekangan kapasiti yang diperkenalkan (had kapasiti pengeluaran 60 peratus)," tambahnya lagi.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan