TNB sumbang bekalan makanan asas kepada 9,918 asnaf

15/06/2021 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Prihatin terhadap nasib golongan yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil menyumbang bekalan makanan asas bernilai RM420,000 kepada 9,918 asnaf.

Sumbangan berupa beras, gula, telur, biskut, serbuk teh, tepung dan kurma itu diedarkan sejak 27 April lepas, menerusi pelbagai program anjuran TNB bagi meringankan beban golongan berkenaan terutama ketika Ramadan dan Syawal.

Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan Global TNB Mohamad Ariff Zainol berkata sumbangan itu bertujuan memenuhi komitmennya sebagai warga korporat yang prihatin.

“Sumbangan kecil kami ini diharap dapat meringankan beban keluarga penerima bantuan dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan masyarakat yang memerlukan.

“Pendekatan ini juga insya-Allah dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Ariff berkata berikutan pelaksanaan PKP 3.0, warga kerja TNB menyantuni penerima bantuan dengan menyerahkan sebahagian barangan secara terus dari rumah ke rumah, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau berkata selain berkongsi rezeki bersama golongan yang terkesan, TNB juga menyokong usaha pelaksanaan program vaksinasi negara dengan memastikan warga kerjanya mendaftar untuk vaksinasi serta memastikan bekalan elektrik ke pusat pemberian vaksin dan pusat simpanan vaksin berada dalam keadaan baik dan teratur.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan