Ali Jais, yang lama terpisah dengan keluarganya sudah lengkap suntikan vaksin COVID-19

21/06/2021 04:45 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 21 Jun -- Masih ingat dengan kisah Ali Jais, warga Malaysia di Singapura yang berjaya disatukan semula dengan anak-anaknya di Malaysia selepas terpisah kira-kira 20 tahun lalu. 

Hari ini warga emas berusia 85 tahun itu telah lengkap disuntik dengan vaksin COVID-19, seakan meraikan genap enam bulan kepulangannya ke Malaysia dan mungkin ia merupakan hadiah paling berharga sempena Hari Bapa. 

Khabar gembira itu disampaikan anak sulungnya Hasliza Ali kepada Bernama dan turut menyertakan gambar terkini “Abahnya” selepas divaksin di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur.

Ali yang sebelum ini merupakan penghuni rumah jagaan warga emas ‘Bukit Batok Home For The Aged’ di Singapura, selamat kembali ke Malaysia pada 19 Disember 2020.

Kini, beliau tinggal bersama anak sulungnya itu di Batu Caves, Selangor.

Ditanya perkembangan terbaru bapanya, Hasliza berkata selain faktor usia, beliau sihat dan kami adik-beradik amat bersyukur kerana masih dikurniakan kesempatan untuk menjaganya.  

“Pada awalnya memang ada cabaran kerana nak sesuaikan denga suasana baharu.  Abah pernah bungkus pakaiannya dan mahu balik semula ke Singapura. Abah ada juga bagi tahu hasratnya nak kerja. Tetapi kami cuba memujuknya dan sekarang keadaan dah bertambah baik.

“Adakala sayu hati bila Abah minta makanan katanya lama dah tak makan atau tak pernah makan. Kami cuba sedaya yang mampu untuk memenuhi permintaan Abah,” katanya.

Sementara itu anak bongsu Ali, Khazimah, adalah orang yang paling gembira kerana hajatnya tercapai dapat menyambut ulang tahun kelahiran bapanya buat pertama kali pada 31 Disember 2020.

Khazimah yang memulakan pencarian di media sosial sekadar berbekalkan sekeping foto bapanya, turut pertama kali berpeluang menyambut Ramadan dan Aildifitri bersama.

“Akhirnya saya dapat juga cium tangan Abah di pagi Syawal. Pertama kali juga dalam hidup saya dapat pergi beli baju raya untuk Abah,” ujarnya gembira. 

“Cuma satu saja belum dapat kami lakukan iaitu untuk berkumpul bersama-sama semua adik-beradik. Apakan daya disebabkan COVID-19. Ingatkan dapatlah kami raya sakan tahun ini,” kata Khazimah yang menetap di Selayang, Kuala Lumpur.

Anak kedua Ali, Haslina pula bertugas sebagai jururawat dan menetap di Terengganu.

Misi membawa pulang Ali mengambil masa hanya sebulan dengan kerjasama pelbagai pihak di Singapura dan Malaysia.

Pada 15 November 2020, Bernama melaporkan kisah pencarian Ali oleh Khazimah, bapanya itu berjaya ditemukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas berita mengenainya dilaporkan.

Berasal dari Kuala Selangor, Ali kali terakhir bertemu anak-anaknya pada 2001, selepas berpisah dengan isterinya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan