Kambing Perap Temasya Dari Dapur Movenpick KLIA

11/08/2021 08:12 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

SEPANG (Bernama) -- Pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini turut memberi tempias serta menjejaskan teruk sektor perniagaan termasuk industri perhotelan yang rata-ratanya diselubungi suasana suram.

Hotel yang dulunya meriah dikunjungi pelancong tempatan dan luar, kini boleh dikatakan lengang dan banyak bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk melakukan pelbagai cara bagi memastikan perniagaan boleh terus beroperasi pada waktu yang sukar ini.

Salah sebuah hotel yang turut menerima nasib yang sedemikian ialah Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA (Movenpick KLIA), Sepang, Selangor.

Menurut Pengurus Besar Movenpick KLIA, Wan Enderi Mohd Saad (he), hotel berkenaan yang memulakan operasi pada 1 Oktober 2018 mula mengalami kesulitan akibat Pandemik COVID-19 semasa bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun 2020.

Untuk makluman, Bangunan Movenpick KLIA adalah milik Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, sebelum pandemik, hotel itu banyak menerima pelanggan dari sektor korporat dan kerajaan yang rata-ratanya kerana menghadiri persidangan atau acara di pusat konvensyen itu, atau pelancong tempatan terutamanya semasa musim haji.

Apabila menularnya wabak COVID-19 dan kerajaan melakukan pelbagai sekatan pergerakan, pihak hotel, kata beliau, perlu memikirkan alternatif untuk menjana pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan operasi hotel boleh bertahan dan seterusnya nasib para pekerja tidak terabai.

 

KAMBING PERAP SEJUK BEKU


Movenpick KLIA responded swiftly to pivot its business to delivering frozen marinated lamb from the hotel’s Temasya kitchen to customers located around Cyberjaya, Sepang, Salak Tinggi and Bandar Enstek. --fotoBERNAMA (2021) ALL RIGHTS RESERVED

Bagi Movenpick KLIA, selain menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan ke kawasan sekitar Cyberjaya, Sepang, Salak Tinggi dan Bandar Enstek, hotel itu turut menawarkan satu produk premium iaitu kambing perap sejuk beku untuk djual kepada orang ramai.

Dengan jenama, Kambing Perap Temasya, terdapat dua pilihan iaitu Mongolian serta Honey Glaze dan produk ini mula dipasarkan bermula Februari 2021.

Menurut Wan Enderi, Kambing Perap Temasya adalah hasil olahan chef di Movenpick KLIA yang didatangkan dengan pek 500gram atau satu kilogram bersama sos lada hitam dan kentang. Ia dijual secara dalam talian dan orang awam boleh membeli secara bawa pulang atau penghantaran dalam radius 30 kilometer.

"Kambing perap ini biasanya kita tawarkan bersama menu bufet di hotel terutamanya semasa bulan Ramadan dan ia sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan kami.

"Buat masa ini kami sudah menjual lebih 150 paket kambing perap sejuk beku ini. Permintaan tak banyak kerana kawasan hotel ini bukan kawasan kediaman," katanya sambil menambah, selain kambing perap, pihaknya juga menjual juadah seperti kari kepala ikan yang dihantar terus ke rumah atau pejabat pelanggan.

Sementara itu, Chef Sous Firdaus Atan Din, cef yang bertanggungjawab mengolah persiapan kambing perap ini berkata, resepi Kambing Perap Temasya ini diolah daripada gabungan citarasa Mongolian dan Southern America dengan penambahbaikan untuk menepati cita rasa Asia, Penyediaan mengambil masa lebih kurang tiga jam bermula daripada penyediaan rempah perapan sehingga selesai diperap.


Movenpick KLIA's Chef Sous Firdaus Atan Din.--fotoBERNAMA (2021) ALL RIGHTS RESERVED

"Kambing yang digunakan adalah daripada baka White Dorper Sheep dari Australia. Kambing ini dipilih kerana kualiti daging yang premium, lembut dan segar.

"Selain itu, ia juga mempunyai kadar lemak dan otot yang seimbang yang memudahkan daging diperap sempurna dengan rempah perapan," katanya.

Firdaus berkata, antara keistimewaan kambing perap keluaran Movenpick KLIA ialah kombinasi rasa masam, manis dan pedas yang unik, berbeza dengan kambing perap yang terdapat di pasaran. 

"Cita rasa Mongolian (perisa Mongolian) dipilih kerana cara masakan yang lebih menitikberakan keaslian rasa daging dikekalkan dengan pengunaan rempah ratus yang minimum. 

"Manakala, cita rasa Southern America (Honey Glazed) pula dipilih kerana kombinasi aromatik tumis dan gaya masakan yang juga digemari oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.

"Ramuan perapan dan teknik perapan juga amat dititikberatkan untuk memastikan rasa perapan yang konsisten," katanya, sambil menambah, penggunaan teknologi daripada vacuum meat tumbler juga membantu untuk memastikan daging perapan lebih lembut dan berperisa. 

Beliau berkata, dua jenis perisa iaitu Mongolian dan Honey Glazed dipilih kerana dua perisa ini mendapat permintaan yang banyak dalam kalangan pelanggan hotel itu.

Ditanya adakah rasa kambing perap ini sama dengan kambing golek yang biasanya terdapat di majlis keraian, Firdaus berkata, kedua-duanya mempunyai rasa yang berbeza kerana kambing perap Movenpick KLIA ini disediakan secara lebih khusus bagi memastikan perapan sebati dengan rasa yang lebih padu. 

Manakala penyediaan kambing golek pula, katanya, lebih menitikberatkan penyediaan rempah ratus yang lebih dan di panggang secara terbuka adaptasi daripada menu masakan timur tengah.

 

PENJIMATAN KOS


Kambing Perap Temasya is a fusion of Mongolian and South American flavours. fb.com/movenpickhotelklia

Di samping menjual produk sejuk beku, pengurusan Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA (Movenpick KLIA) turut melakukan pelbagai inisiatif penjimatan kos, antaranya penggunaan elektrik secara berhemah dan tidak mengambil pekerja baharu.

Menurut Wan Enderi, sebelum pandemik, hotel itu mempunyai seramai 189 orang pekerja dan kini hanya tinggal 125 orang pekerja yang masih berkhidmat di pelbagai unit dan jabatan.

"Pihak hotel tidak pernah membuang pekerja atau kita panggil retrenchment, sebaliknya ada pekerja yang berhenti kerana pelbagai sebab dan kekosongan itu tidak kita isi dengan pekerja baharu.

"Bila ada jabatan kurang pekerja, kita tampung dengan jabatan lain. Contoh, bahagian pentadbiran dan jualan, memandangkan pada masa ini mereka tidak boleh keluar untuk cari pelanggan, maka pekerja di bahagian ini kita minta mereka bantu pekerja di bahagian operasi," katanya.


Wan Enderi Mohd Saad. --fotoBERNAMA (2021) ALL RIGHTS RESERVED

Dari segi penjimatan, Wan Enderi berkata, pihak pengurusan memastikan penggunaan elektrik pada kadar minimum tanpa menjejaskan operasi hotel selain melaksanakan pelbagai inisiatif jimat elektrik.

"Hotel ini mempunyai tiga blok. Jadi blok yang kita tidak guna kita akan tutup bekalan elektrik. Kami juga mendidik pekerja untuk sentiasa menjimatkan penggunaan elektrik antaranya tutup lampu dan penghawa dingin apabila keluar bilik.

"Satu lagi kita menggalakkan pekerja untuk gunakan tangga jika mahu naik atau turun satu tingkat, jangan gunakan lif. Selain jimat elektrik ia juga bagus untuk kesihatan mereka," katanya.

 

INISIATIF LAIN DAN PERANCANGAN MASA DEPAN


--fotoBERNAMA (2021) ALL RIGHTS RESERVED

Menurut Wan Enderi, memandangkan hotel tidak menerima tetamu ketika ini, pihaknya memohon kepada kerajaan untuk menjadikan hotel itu sebagai pusat kuarantin terutamanya kepada mereka yang baru pulang dari luar negara, bermula 1 Julai lepas.

Selain itu, pusat konvensyen yang terletak bersebelahan dengan hotel ini turut disewakan kepada kerajaan negeri Selangor dengan kadar sewa yang minimum untuk dioperasikan sebagai pusat pemberian vaksin mega yang bermula sejak 5 Julai lepas

Ditanya sama ada penangguhan pelaksanaan ibadah haji pa.da tahun 2020 dan 2021 memberi impak besar kepada hotel, Wan Enderi berkata perkara itu tidak berlaku.

"Perjanjian kami dengan Lembaga Tabung Haji ialah selama 45 hari dalam 365 hari, pusat konvensyen itu akan dipulangkan kepada pihak pengurusan TH untuk kegunaan jemaah haji Malaysia, " katanya.

Berkongsi pandangannya tentang masa hadapan sektor perhotelan pasca COVID-19, Wan Enderi berkata sektor berkenaan dijangka berhadapan dengan permintaan yang perlahan untuk beberapa tempoh masa dan pelanggan atau pelancong pula akan lebih memilih tawaran yang menarik yang dapat disediakan oleh hotel.

"Permintaan untuk hotel memang ada tapi tak seperti tahun 2019, iaitu zaman sebelum COVID-19. Jangkaan saya harga pasti turun sebab pasaran tak boleh respons harga yang kita bayar. Contoh tahun 2019, mungkin satu bilik RM300, tahun 2022 mungkin turun RM250.

"Perang harga akan berlaku, mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri perhotelan serta hospitaliti, berkata pandemik ini mengajar semua pihak untuk sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Semua tidak jangka pandemik ini berlarutan lebih setahun dan macam saya pun, secara jujurnya, semasa kerajaan mengumumkan PKP yang pertama pada Mac tahun lepas (2020), saya fikir mungkin ia hanya mengambil masa tiga bulan, tetapi kini dah nak masuk dua tahun pandemik ini masih belum reda.

"Bagi saya ia satu pengajaran baharu. Dalam masa yang sama, ia menuntut saya sebagai pengurus besar untuk memikul tanggungjawab dan memastikan hotel ini masih mampu menjana pendapatan walaupun sedikit," katanya.

Beliau berpendapat walaupun kelak pandemik ini dapat dikawal selepas imuniti kelompok dapat dicapai, kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal satu meter, tidak boleh diabaikan.

"Pendapat saya, walaupun keadaan kembali normal, kita masih perlu menjaga SOP dann kena belajar untuk hidup dengan COVID-19 kerana wabak ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya," katanya.

Movenpick KLIA, yang dimiliki oleh TH, mengetengahkan hotel berkonsepkan mesra muslim dan terletak di kawasan seluas 7.2 hektar.

Hotel itu menawarkan 333 bilik dan suite serta ruang eksekutif dan lima restoran serta kemudahan rekreasi yang berasingan ditawarkan untuk tetamu wanita, termasuk kolam renang, gimnasium dan kemudahan spa.

Hotel itu juga menawarkan 17 ruang mesyuarat yang moden, dewan utama yang mampu memuatkan seramai 2,500 orang; kolam renang kanak-kanak, taman permainan dan gelanggang tenis di samping menyediakan pusat konvensyen yang sesuai untuk acara, pameran dan konvensyen antarabangsa berskala besar.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan