Sarawak guna cukai jualan produk petroleum bantu rakyat - Awang Tengah

24/10/2021 10:42 AM

Oleh Anasathia Jenis

KUCHING, 24 Okt  -- Pelaksanaan cukai jualan oleh kerajaan negeri Sarawak adalah satu daripada kaedah penstrukturan semula hasil yang membolehkan negeri ini menjana pendapatan tambahan untuk membantu rakyat khususnya yang terkesan oleh pandemik COVID-19. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sejak cukai jualan dikenakan terhadap produk petroleum pada 2019, negeri telah memperoleh hasil tambahan kira-kira RM6.8 bilion yang seterusnya disalurkan kembali untuk manfaat rakyat.

“(Bantuan) ini akan diberikan kepada rakyat bukan sahaja kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50) malah, turut disalurkan kepada kumpulan M40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini. 

Awang Tengah berkata beberapa projek strategik khususnya untuk membantu komuniti perniagaan turut dilaksanakan memandangkan mereka terjejas ekoran pandemik ini sehingga ada antara mereka terpaksa ‘gulung tikar’ dan pekerja mereka hilang mata pencarian.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri turut membantu mereka menjalankan perniagaan dalam talian,” katanya.

Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata hasil cukai itu turut digunakan untuk meneruskan semua program pembangunan dan projek utama yang telah dan akan dirancang. 

“Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam tempoh getir dan mencabar ini, memberi penekanan mengenai kepentingan untuk membantu rakyat yang terjejas,” katanya. 

Perhatian dan penekanan juga diberikan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sememangnya terkesan untuk menambah pendapatan mereka semasa pandemik.

Katanya antara usaha itu ialah memperkenalkan bazar Ramadan dalam talian iaitu Bazar Ramadan Online Sarawakku Sayang (BROSS) di Facebook untuk menjana pendapatan peniaga semasa bulan puasa berikutan bazar tidak dibuka susulan PKP.  

Justeru itu, tiada berita yang lebih menggembirakan penduduk Sarawak apabila bantuan demi bantuan dihulurkan oleh kerajaan negeri termasuk pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang pertama sehingga pakej ketujuh.

Pakej yang melibatkan peruntukan kerajaan negeri Sarawak berjumlah lebih RM5.3 bilion itu bertujuan membantu rakyat menghadapi tempoh kritikal akibat pandemik yang melanda negara sejak awal 2020.

“Insya-Allah, menerusi Bajet 2022, Ketua Menteri Sarawak telah menyatakan bahawa pelancaran BKSS 8.0 ini antara tujuannya untuk membantu memulihkan sektor PKS dan perniagaan, selain bantuan tunai secara bayaran sekali bayar untuk golongan bujang, anak yang baru lahir atau ibu yang melahirkan anak,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk tujuan pengurusan pandemik COVID-19 berjumlah RM97 juta.

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan