RM80 juta peruntukan bagi 3 skim pembiayaan baharu Yayasan Hijrah untuk bantu usahawan

27/10/2021 03:12 PM

SHAH ALAM, 27 Okt -- Sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk tiga skim pembiayaan terbaharu Hijrah Selangor yang bermatlamat membantu usahawan di negeri ini memulih dan memulakan semula perniagaan akibat terkesan daripada pandemik COVID-19.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata skim pembiayaan meliputi Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim menawarkan jumlah pembiayaan yang bergantung kepada keperluan dan sektor yang diceburi oleh usahawan terbabit.

“Skim yang dikendalikan oleh Yayasan Hijrah Selangor ini dibuka bermula hari ini sehingga tahun hadapan untuk usahawan berumur 18 tahun dan ke atas,“ katanya kepada media selepas majlis pelancaran skim tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata Skim i-Lestari menawarkan modal tambahan bermula RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan dan berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Manakala Skim i-Agro ditawarkan kepada usahawan dalam sektor pertanian, penternakan dan akuakultur dengan modal tambahan bermula RM1,000 hingga RM5,000 bagi membantu usahawan dalam penyediaan hub bekalan makanan secukupnya khususnya untuk rakyat di Selangor.

Selain itu penawaran Skim i-Agro juga akan dapat menggalakkan generasi kedua petani terutamanya belia dan graduan yang menganggur untuk menceburi bidang pertanian. 

Katanya, Skim i-Bermusim pula diperkenalkan kepada usahawan yang memerlukan modal pusingan perniagaan yang menjalankan perniagaan bermusim seperti bazar Ramadan dan perayaan serta gerai buah-buahan bermusim. 

Amirudin berkata permohonan skim tersebut boleh dibuat di 20 cawangan Hijrah Selangor dan maklumat lanjut diterangkan melalui laman web www.hijrahselangor.com.

--BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan