Terbuka Malaysia: Aifa Azman, Eain Yow mara ke separuh akhir dengan Bergaya

26/11/2021 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov --  Pemain skuasy wanita sensasi negara Aifa Azman menitiskan air mata kegembiraan selepas menumpaskan lawan ketiganya dari Mesir untuk melayakkan diri  ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya mengatasi cabaran dihadapinya dengan menewaskan pemain nombor 35 dunia dari Mesir Hana Ramadan  11-9, 11-9, 11-5  dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional  Bukit Jalil di sini hari ini. 

Ia merupakan kemenangan ketiga buat Aifa, pemain nombor 69 dunia yang sebelum ini menewaskan dua wakil Mesir Mayar Hany (nombor 47 dunia) dan Yathreb Adel (nombor 31 dunia) masing-masing dalam pusingan pertama dan kedua.

Pemain dari Kedah itu sememangnya melebihi jangkaan dengan mara ke acara separuh akhir  Jelajah Dunia Gangsa Persatuan Skuasy Profesional (PSA), pertamanya.

“Saya sangat gembira menang 3-0 kerana saya berhadapan perlawanan sukar semalam jadi amatlah lega untuk memenanginya dalam tiga set yang merupakan keputusan yang baik. Saya pada mulanya agak gementar pada pusingan kedua tetapi setelah mengalahkan pemain pilihan ketiga Yathreb, saya sememangnya lebih tenang hari ini.

Saya rasa saya menangis sedikit kerana gembira layak ke acara separuh akhir Gangsa pertama saya. Sekarang saya menumpukan kepada sesi pemulihan kerana rancangan saya untuk menang di separuh akhir, katanya dalam satu kenyataan.  

Aifa akan bertemu pemain nombor 19 dunia, Danielle Letourneau untuk satu slot ke final selepas pemain dari Kanada itu mengalahkan pemain nombor 14 dunia dan pilihan kedua Nadine Shahin dari Mesir 11-4, 9-11, 11-7, 11-8, dalam satu lagi aksi suku akhir. 

Sementara itu, harapan untuk seorang lagi pemain Malaysia layak ke separuh akhir tidak kesampaian, apabila juara bertahan Rachel Arnold kalah kepada pemain pilihan pertama dan nombor lapan dunia Salma Hany dari Mesir  3-11, 11-8, 11-6, 6-11, 6-11 dalam perlawanan lima set yang mendebarkan. 

Salma akan berhadapan pemain pilihan keempat dari Kanada, Holly Naughton dalam separuh akhir. Noughton mengalahkan wakil Hong Kong  Tze Lok Ho 11-8, 13-11, 11-13, 11-5 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam kategori lelaki, juara bertahan Ng Eain Yow terus mengekalkan rekod cemerlang di gelanggang sendiri dengan mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Nicolas Mueller dari Switzerland 11-6, 11-5, 11-5.

“Saya fikir ia permainan yang bagus kerana saya pernah berhadapan Mueller di final dua tahun lepas, jadi untuk kemenangan 3-0 hari ini merupakan satu keputusan yang baik buat saya. Saya fikir mungkin dia tidak berada dalam keadaan 100 peratus tetapi saya kekalkan fokus dan strategi saya ialah untuk mengekalkan intensiti tinggi dan memberi tekanan kepadanya di gelanggang. 

Saya merasa amat gembira dalam kejohanan ini dan saya di sini untuk memenanginya jadi saya bersedia untuk melakukan apa saja,”katanya. 

Eain Yow akan berhadapan pemain pilihan pertama Miguel Rodriguez dari Colombia yang mengalahkan dengan mudah wakil Amerika Syarikat ,Shahjahan Khan 11-1, 11-9, 11-1 dalam suku akhir.

Pemain lain yang mara ke separuh akhir ialah pemain pilihan kelima dari Perancis  Victor Crouin yang akan bertemu pemain pilihan kedua dari India, Saurav Ghosal.

Terdahulu dalam aksi suku akhir, Crouin menumpaskan wakil Hong Kong Yip Tsz Fung 11-6, 11-8, 11-7 sementara Saurav mengalahkan pemain pilihan kelapan dari Perancis Lucas Serme 1-7, 11-6, 11-6.

Terbuka Malaysia menawarkan hadiah keseluruhan bernilai US$50,000 (RM209,000) untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan