LZS terus proaktif kesan, bantu asnaf

24/09/2022 05:57 PM

KAJANG, 24 Sept (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan terus proaktif mengesan individu dan keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf di negeri itu menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK). 

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata program turun padang yang diperkenalkan sejak 2011 itu berjaya mengenal pasti golongan asnaf dengan menggunakan kaedah bancian dalam menentukan jenis-jenis bantuan yang layak mereka peroleh.

“Program SJK ini diadakan dengan kerjasama Penolong Amil Kariah LZS yang membantu menyalurkan maklumat individu atau keluarga yang masih belum disantuni oleh LZS,” katanya pada program SJK daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Program yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Datuk Dr Abdul Rahman Abdullah itu menyantuni 45 keluarga di kariah Masjid At-Taqwa, Masjid Bandar Seri Putra dan Masjid Sungai Kembong Hilir di daerah Hulu Langat.

Mohd Sabirin berkata selain bantuan zakat, LZS turut menawarkan program pembangunan kerjaya bagi membantu golongan asnaf yang kehilangan mata pencarian dengan menawarkan peluang pekerjaan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat yang membayar zakat kepada LZS.

Sementara itu, LZS dalam kenyataan memaklumkan keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf akan diberikan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.

“Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah,” katanya.

Setakat Jun tahun ini, sebanyak 59,991 keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni LZS dengan 8,887 daripadanya di daerah Hulu Langat.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan