Lhdn Santuni 50 Asnaf Di Baling

28/03/2024 03:36 PM

BALING, 28 Mac (Bernama) -- Sebanyak 50 asnaf di Mukim Bongor, Mukim Pulai dan Mukim Siong di sini disantuni menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah, Hasil Kedah - Food Pack Ramadan 2024.

Pengarahnya  Aziz Din berkata ini merupakan kali pertama program sedemikian diadakan di daerah itu dan akan dijadikan tradisi tahunan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

"Kita pernah buat acara seumpama ini di daerah lain, tapi di Baling ini kali pertama dan saya berharap agar program ini dijadikan tradisi tahunan.

"Kita tidak mahu wujud persepsi rakyat bahawa LHDN hanya bertanggungjawab mengutip cukai sahaja sebaliknya LHDN juga prihatin dalam membantu golongan yang memerlukan," katanya kepada Bernama selepas pelepasan konvoi Program CSR Hasil Kedah - Food Pack Ramadan 2024 di Kampung Banggol Lada dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Operasi Seksyen Khidmat Pelanggan LHDN Kedah Wan Faridah Ali dan Pegawai Daerah Baling Datuk Abdul Gafar Yahya.

Aziz berkata sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan duit raya itu diharap dapat meringankan bebanan perbelanjaan khususnya menjelang sambutan Aidilditri tidak lama lagi.

"Sumbangan kita tidak banyak namun kita berharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan..dapat ringankan beban mereka," katanya.

Sementara itu, penerima, Asma Hassan, 65, dari Kampung Banggol Lada, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan.

"Saya tinggal menyewa bersendirian selepas suami meninggal..saya menyara hidup dengan bekerja di kedai makan yang terletak tidak jauh dari rumah dengan gaji harian RM25.

"Saya belum buat apa-apa persediaan lagi untuk menyambut Aidilfitri..terima kasih atas sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat ringankan sedikit perbelanjaan saya," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan