Malaysia Kekal Komited Bantu Pastikan Krisis Di Myanmar Segera Dipulihkan

23/02/2025 02:43 PM

REMBAU, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk membantu memastikan krisis berterusan di Myanmar termasuk isu pemerdagangan manusia dapat dipulihkan, sekali gus mengembalikan keamanan serta masa depan rakyat di negara berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata isu Myanmar juga antara agenda utama perbincangan pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi bulan lepas, selain memastikan pihak bertelagah di negara itu segera berhenti.

“Orang tak boleh kata walaupun dalam piagam ASEAN mengatakan kita tidak mencampuri hal ehwal negara masing-masing, tapi isu dalaman di Myanmar ini telah melangkaui sempadan.

“Ia dah menjadi jenayah antarabangsa, ada kes pemerdagangan manusia, penipuan, jenayah siber dan dadah yang juga menjadi masalah kepada negara jiran termasuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Rembau hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata dengan tercapainya keamanan di Myanmar, ia dapat memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke tempat memerlukan di negara itu sampai tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak berkepentingan. 

“Kalau boleh kita nak keamanan di Myanmar dapat dikembalikan, barulah kita boleh runding duduk semeja untuk adakan pilihan raya, terpulang pada mereka nak tubuhkan apa, tetapi kepentingan ASEAN adalah memastikan krisis itu dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk membantu membawa pulang baki 22 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan. 

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) sama ada di Malaysia atau AS segera diadakan, sekali gus dapat mengekalkan hubungan baik antara ASEAN khususnya membabitkan Malaysia dan AS.

“Kita sedang menunggu respons dari AS untuk menentukan tarikh, kita tak letakkan tarikh tapi kalau boleh secepat mungkin tapi jika tak boleh, selepas Mei (boleh adakan),” katanya.

 Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata Malaysia sedang berusaha untuk mengadakan sidang kemuncak khas itu dan ia telah dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan