Prasarana, Uncle Kentang bergandingan bantu keluarga di Puchong

10/02/2021 05:00 PM


 

 
*KUALA LUMPUR, 10 Februari – Selepas program bersama anggota barisan depan di Hospital Besar Sungai Buloh, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meneruskan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) 2021nya di sini hari ini.

Bergandingan dengan tokoh kebajikan, ‘Uncle Kentang’ untuk menyampaikan sumbangan makanan bersempena sambutan Tahun Baru Cina, yang akan diraikan Jumaat ini.
 
Memilih 45 keluarga kurang berkemampuan yang menetap sekitar Puchong, Prasarana dan pasukan sukarelawan ‘Uncle Kentang’ – atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng - mengedarkan barangan asas berupa beras, gula, susu, minyak masak dan tepung gandum dalam satu program ringkas, yang diadakan di Stesen LRT Taman Perindustrian Puchong.
 
“Banyak sebab kami melaksanakan program ini tahun ini. Tetapi, sebab utama adalah menyedari dan insaf terhadap impak teruk wabak COVID-19, yang menjejas kehidupan segenap lapisan rakyat. Malahan, kami di Prasarana turut terjejas.
 

"Bayangkan, sebelum ini pada tahun 2019, jumlah penumpang harian rel kami hampir mencecah 800,000 penumpang. Kini, ianya hanyalah antara 200,00 hingga 300,000 sehari sahaja untuk semua rangkaian rel Rapid KL – LRT, MRT dan monorel.
 
“Walaupun turut terjejas, kami sedar bahawa ada yang lebih teruk terkesan seperti keluarga-keluarga di Puchong ini. Puchong adalah yang begitu rapat di hati kami kerana di sini ada beberapa stesen utama – IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Puchong Perdana, Puchong Prima dan Bandar Puteri, Puchong dalam rangkaian rel kami.

"Ini adalah antara sebab kami memilih lokasi hari ini,” kata Timbalan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan, Rafizah Amran, yang turut menyampaikan sumbangan ‘ang pow’ pada majlis berkenaan.
 
Dengan wabak ini dijangka akan berterusan lagi, Rafizah berkata pihaknya akan menganjurkan program CSR yang sama bersempena bulan Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti serta sambutan Hari Deepavali untuk penganut agama Hindu dan Krismas untuk orang beragama Kristian.  
 
“Ketika kami mengedarkan bekalan makanan kepada para petugas barisan depan di Hospital Besar Sungai Buloh, kami difahamkan mereka terlalu sibuk dengan tugasan masing-masing dan kerap kali sehingga tidak sempat membeli makan tengahari. Ketika itu juga, beberapa pegawai dan staf Kumpulan Prasarana sedang dirawat di hospital berkenaan kerana positif COVID-19,” tambah Rafizah.  
 
Dalam ucapan ringkas menyatakan terima kasih kepada Prasarana, Kuan berharap kerjasama yang terjalin untuk program hari ini akan dapat diteruskan untuk manfaat golongan kurang berkeupayaan di negara ini.

Beliau turut berharap inisiatif Prasarana ini akan menyuntik semangat dan inspirasi kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk melaksanakan program yang sama.  
 
“Pemilihan untuk keluarga-keluarga ini telah dipilih oleh kami. Kami memilih 45 keluarga asnaf di kawasan Puchong, yang rata-rata terdiri daripada mereka yang miskin dan uzur. Bagi pihak keluarga-keluarga ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Prasarana. Sesungguhnya, saya amat terharu dengan keprihatinan Prasarana khususnya ketika penularan wabak COVID ini,” kata Kuan.
 
Bersempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, Rapid KL turut mengedarkan limau mandarin kepada para pelanggan di stesen-stesen LRT, MRT dan monorel sebagai menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua yang menyokong penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

Program yang sama turut dilaksanakan turut dilaksanakan oleh Rapid Bas dengan pengedaran limau mandarin hari ini  kepada para penumpang perkhidmatan BRT – Laluan Sunway, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di bandar Kuantan.
 -- BERNAMA
 
 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan