Hidayat sambut Tahun Baharu Cina bersama ibu di Singapura, Ramadan di Malaysia

12/02/2021 07:51 PM

SINGAPURA, 12 Feb -- “Allah sebaik-baik perancang”, itulah ungkapan Hidayat Ngay, seorang warga Singapura mengenai perjalanan hidup beliau yang terpisah dengan isterinya seorang warga Malaysia berikutan penutupan sempadan kedua-dua negara sejak Mac 2020, bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau berasa lega selepas permohonannya untuk memasuki Malaysia telah diluluskan pihak berkuasa baru-baru ini, namun kebenaran itu menyebabkan beliau dalam dilema, kerana kelulusan itu diterima menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Hidayat, 65, yang memeluk agama Islam lebih 20 tahun, perlu membuat keputusan sama ada untuk bersama isterinya yang telah terpisah hampir setahun, ataupun terus berada bersama ibunya yang berusia 97 tahun di Bukit Timah di sini, untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau telah menetap di Shah Alam, Selangor sejak empat tahun lepas, namun terpaksa pulang ke Singapura apabila sempadan kedua-dua negara ditutup, kerana beliau tidak memiliki pas lawatan jangka panjang.

Namun atas sokongan isterinya, dilema beliau selesai, apabila membuat keputusan untuk terus bersama ibunya di Singapura sehingga selesai menyambut Tahun Baharu Cina, dan hanya akan pulang ke Shah Alam selepas itu.

“Sejak empat tahun lepas saya sambutnya di Shah Alam. Oleh kerana Tahun Baharu Cina disambut selama 15 hari, saya hanya patah balik (ke Singapura) selepas seminggu. Tahun ini saya akan bersama ibu saya dahulu,” katanya dalam keadaan sebak ketika berkongsi betapa beliau mendapat restu ibunya ketika mahu memeluk agama Islam.

“Alhamdulillah, isteri saya juga amat memahami. Walaupun dia tahu yang saya dapat kebenaran itu dua minggu lepas, beliau tidak minta saya balik segera. Beliau suruh saya terus di sini… habiskan sambutan Tahun Baharu Cina, dan baru balik selepas itu,” katanya.

Hidayat menyatakan yang beliau akan berpuasa pada bulan Ramadan bersama keluarganya di Shah Alam.

Beliau yang ditemui Bernama baru-baru ini di pusat pengedaran makanan di Pasir Ris, merupakan salah seorang sukarelawan kumpulan rakyat Singapura, yang menyediakan pek makanan untuk ‘Anak Malaysia’ di sini.

Hidayat berkata, sebaik pulang ke Singapura tahun lepas, beliau telah menyertai kumpulan itu selepas menjalani tempoh kuarantin 14 hari.

Dengan slogan ‘From Ummah For Ummah’, kumpulan itu telah mengedarkan lebih 180,000 bungkusan makanan kepada ‘Anak Malaysia’ di Singapura sejak Mac tahun lalu, dengan secara purata 1,000 bungkus sehari.

“Kami cuba lakukan apa yang termampu kerana Allah. Saya berdoa untuk ‘dia’ suka dengan apa yang saya lakukan, barulah ‘dia’ terima saya,” kata bapa kepada lima cahaya mata ketika ditanya tidakkah beliau penat melakukan kerja-kerja sukarelawan pada usia 65 tahun.

Menjadikan Ebit Lew sebagai inspirasi, beliau bersyukur untuk dapat kembali ke Malaysia, namun perasaannya bercampur baur, kerana perlu meninggalkan kumpulan itu, selepas hampir setahun bersama.

“Ia satu perasaan yang bercampur kerana selepas lakukan kerja-kerja ini di sini bersama semua sukarelawan, saya berasa gembira. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang untuk mengenali mereka, dan saya berpeluang untuk bersama mereka, menyumbang kepada masyarakat.

“Bagus juga untuk berada di sini pada Ramadan, kerana saya tahu tahun lepas ia agar kelam kabut untuk mereka, tetapi saya akan berada di Shah Alam… jadi ia perasaan bercampur lah. Saya akan rindukan kerja-kerja ini. Ini apa yang saya rasa,” katanya.

Salah seorang sukarelawan telah turut memberitahu anak ke sembilan dari 11 beradik yang tinggal di Jurong itu, akan mengunjungi ibunya hampir setiap minggu.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan