YBK sedia peluang tingkat taraf hidup

14/03/2021 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac -- Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyediakan peluang kepada orang ramai meningkatkan taraf hidup dengan menyediakan perkhidmatan nasihat dan teknikal bagi memulakan beberapa projek pertanian.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, projek pertanian yang diberi nama 'Basmi Kemiskinan Bina Kesejahteraan' ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan latihan projek pertanian seperti tanaman cili merah, nanas, keledek dan ternakan ayam.

Projek tersebut dimulakan sejak dua bulan lepas dengan dua peserta menjalankan tanaman cili fertigasi yang hasil pertama akan dituai pada 25 Mac ini. 

"Kali ini kita mencari 20 peserta untuk meneruskan projek tanaman cili di Hulu Selangor dan tinggal di satu tempat dalam tempoh tertentu untuk menjalani latihan sebelum kita  keluarkan sijil apabila yakin mereka boleh mengusahakan tanaman cili sendiri. 

"Kami juga bersedia menyiapkan bahagian teknikal dan nasihat kepada mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran," katanya selepas program penyerahan kotak rezeki di Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.

Pencarian 20 orang terdiri daripada ibu tunggal, belia dan golongan asnaf yang mempunyai minat untuk berhijrah daripada kemiskinan bagi membina kesejahteraan hidup itu kini sedang dilaksanakan, katanya. 

Zainal Abidin berkata, YBK sudah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyediakan modal dalam mengusahakan tanaman yang bersesuaian. 

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang YBK untuk maklumat lanjut. 

Terdahulu, Zainal Abidin menyampaikan kotak rezeki kepada 200 orang terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf di kawasan Petaling Jaya.

Sebanyak 26,000 orang seluruh negara yang mendapat manfaat hasil agihan kotak rezeki sejak ia dilancarkan sejak Mac tahun lepas.

Sempena kehadiran bulan Ramadan, YBM menyasarkan bantuan barang keperluan dan wang tunai kepada 1000 keluarga kurang berkemampuan menerusi program Sinar Kasih Ramadan. 

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan