Penganjur, peniaga tidak jaga kebersihan Bazar Ramadan akan disenarai hitamkan - MB NS

31/03/2021 07:03 PM

SEREMBAN, 31 Mac -- Peniaga dan penganjur bazar Ramadan di negeri ini akan berdepan tindakan disenarai hitamkan sekiranya tidak menjaga kebersihan tapak bazar masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan permohonan mereka untuk mendapatkan tempat perniagaan yang baharu bagi bazar Ramadan pada masa akan datang akan ditolak.

“Ia kebiasaan berlaku pada hari terakhir Ramadan, yang mana mereka (peniaga) meninggalkan khemah begitu sahaja dalam keadaan kotor dan persekitaran kurang bersih.

“Oleh itu, peniaga dan penganjur diminta menjaga kebersihan kawasan mereka bagi mengelakkan mereka tidak lagi dapat berniaga di bazar Ramadan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Aminuddin juga turut mengingatkan peniaga, penganjur dan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi bazar Ramadan nanti.

Dalam pada itu, beliau menasihati para peniaga yang menjaja makanan berhampiran lampu isyarat supaya mencari alternatif baharu menjual makanan memandangkan ia membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.

“Saya yakin ada cara lain untuk berniaga. Saya memahami mereka terdesak untuk mencari rezeki, namun keselamatan lebih penting dan saya harap mereka mematuhi undang-undang supaya tidak dikenakan tindakan,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan