SOP ibadah sepanjang Ramadan di masjid, surau diumum dalam masa terdekat - Zulkifli

01/04/2021 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 1 April -- Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua aktiviti ibadah di masjid serta surau sepanjang Ramadan termasuk solat Tarawih, akan diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi Wilayah Persekutuan, SOP akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) manakala negeri lain ditentukan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. 

"Saya melihat perkara ini (ibadah bulan Ramadan) hampir sama dengan solat-solat yang lain kecualilah mungkin ada sedikit perubahan kecil yang akan dilihat dari semasa ke semasa," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Akaun Emas YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) atau Akaun SERY, di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat Tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula 13 April ini. 

Mengenai majlis itu, Zulkifli berkata produk simpanan emas berkenaan dilihat akan membawa YaPEIM setapak lagi ke hadapan dalam membantu merancakkan ekonomi khususnya dalam tempoh negara sedang pulih daripada impak COVID-19. 

Beliau berharap dengan produk baharu itu, YaPIEM mampu bersaing dan berdiri setaraf dengan pemain industri emas yang lain. 

Akaun SERY adalah produk simpanan emas yang membolehkan emas dibeli secara digital dan ditukar kepada emas fizikal dengan caj berpatutan selain patuh syariah.

-- BERNAMA 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan