MAFI beri jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan

04/04/2021 04:37 PM

TUMPAT, 4 April -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan seperti ikan, ayam dan daging, yang menjadi permintaan tinggi berada pada tahap mencukupi dan stabil, bagi keperluan sepanjang Ramadan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya juga telah membuat persiapan awal bagi memastikan kesemua barangan adalah mencukupi, untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata selain daripada pengeluaran negara, kerajaan turut mengimport bahan makanan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Setiap kali Ramadan termasuk musim perayaan sebelum ini, kita sentiasa membuat pengukuran tentang permintaan sebenar berbanding stok yang ada. Jadi kita beri jaminan bekalan makanan akan mencukupi dan juga stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat di Jeti Pendaratan Ikan, Tanjung Che Mas, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan pembangunan pelan peningkatan pendapatan golongan B40 sebanyak RM50,000, menerusi program Tanaman Kontan kepada 50 nelayan di Tumpat.

Selain itu, sebanyak RM20,000 disumbangkan dalam bentuk bantuan 'touch point' iaitu peralatan pemasaran ikan kepada 80 nelayan, manakala sebanyak RM65,000 pula disampaikan sempena bantuan projek khas perumahan nelayan (PKPN), untuk baik pulih kediaman lima nelayan.

Ditanya mengenai peningkatan harga makanan haiwan yang meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan perbezaan ketara, Ahmad berkata, perkara itu berlaku disebabkan bahan berkenaan diimport dari luar negara.

“Bagaimanapun, kita minta kalau boleh jangan sampai ia mengakibatkan harga jualan terus meningkat, memandangkan kita sentiasa membuat pemantauan.

“Malah, kita juga turut mengadakan pertemuan dengan pengeluar-pengeluar makanan, terutama ayam dan telur susulan rungutan yang diterima, namun mereka memberi jaminan tidak akan mengambil apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan harga makanan,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan