Pelakon drama Noryati Taib meninggal dunia

07/04/2021 09:06 AM

JOHOR BAHRU, 7 April  -- Pelakon drama Noryati Taib yang terkenal dengan panggilan ‘Makcik Petir’ meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 1.45 pagi tadi di rumahnya di Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini.

Adik Noryati, Effie Ghazi Taib, 49, ketika dihubungi berkata Allahyarham kakaknya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, Hashim Mohd Yusoff, 65. Allahyarham meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 31 dan 42 tahun.

Effie Ghazi yang juga jurukamera Astro Awani berkata jenazah kakaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini, pada 10 pagi ini.

Sementara itu, berita pemergian Noryati, 63, turut dikongsikan anak saudara Allahyarham, penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin, menerusi akaun Instagram @budakijat.

Pada awal Februari lepas, media melaporkan, Noryati yang pernah berlakon dalam drama Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty serta Tari Tirana disahkan positif COVID-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, di sini.

Pada September 2017 Noryati yang menghidap penyakit kencing manis sehingga menyebabkan sebelah kakinya terpaksa dipotong ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail selain mengalami jangkitan kuman pada paru-paru yang kritikal.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan