Kadar Zakat Fitrah minimum RM7 di Terengganu

08/04/2021 02:42 AM

KUALA TERENGGANU, 7 April  -- Kadar zakat fitrah di Terengganu tahun ini ditetapkan pada kadar tidak kurang daripada RM7 seorang sebagaimana diperkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Osman Muda berkata kadar itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred Super Tempatan 5 peratus hancur di pasaran.

"Bagi individu yang memakan beras Super Import pula, kadar fitrah ditetapkan adalah senilai dengan 2.6 kilogram atau 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad.

“Maidam tidak menerima bayaran fitrah dengan beras sebaliknya bayaran fitrah hanya boleh dibuat secara wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata  selain masjid dan surau berdekatan, bayaran zakat fitrah boleh dilakukan mulai 1 Ramadan di semua kaunter zakat Maidam pada hari bekerja biasa bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

"Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu dan kaunter zakat pandu lalu dibuka setiap hari mulai 25 April ini hingga 12 Mei depan.

“Operasi kaunter zakat di UTC pula akan dilanjutkan sehingga jam 9.30 malam sepanjang tempoh tersebut kecuali hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, Maidam melantik seramai 1,090 amil yang akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau di seluruh negeri ini.

"Pembayar hendaklah memastikan mereka menerima resit rasmi Maidam daripada amil berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan