Peniaga bazar Ramadan, Aidilfitri diingat patuh etika

08/04/2021 04:44 PM

ROMPIN, 8 April -- Peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri diingatkan untuk mematuhi etika perniagaan yang baik termasuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

Beliau berkata KPDNHEP juga akan melaksanakan pemantauan di bazar berkenaan bagi memastikan harga jualan tidak membebankan pembeli serta peniaga mematuhi semua peraturan disyaratkan seperti meletakkan tanda harga.

"Saya harap peniaga tahu tanggungjawab mereka kerana ini adalah perkara yang berlaku setiap tahun. Kita akan pantau dan kawal supaya harga jualan tidak melebihi harga maksimum ditetapkan menerusi skim kawalan harga. 

"Harga maksimum itu ditetapkan setelah kita melihat pelbagai keadaan dan senario ekonomi, selain membuat kajian, pemantauan dan konsultasi pelbagai pihak berkaitan supaya kita boleh memperoleh persetujuan mengenai harga yang berpatutan itu," katanya. 

Nanta berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Food Bank Siswa di Politeknik Muadzam Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri pengarah politeknik itu Hassan Ismail dan Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin. 

Berhubung operasi pemantauan dan penguatkuasaan, Nanta berkata setakat ini KPDNHEP telah melakukan 70,593 pemeriksaan meliputi peruncit, pemborong dan pengilang, selain menerima 753 aduan berkaitan harga dan bekalan.

Mengulas mengenai Program Food Bank Siswa, Nanta berkata sejak dilancarkan pada Februari 2019 hingga kini, seramai 17,954 mahasiswa dari 26 institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat menerima bantuan berkenaan. 

Politeknik Muadzam Shah merupakan IPT ke-27 menerima manfaat itu, dengan seramai 1,200 pelajar dikenal pasti sebagai penerima bantuan yang berkonsepkan 'food pantry' menerusi sumbangan daripada 13 syarikat. 

"Kita juga mula melakukan kerjasama dengan hotel di Terengganu dan Perlis bagi mendapatkan sumbangan makanan yang masih baik dan belum disentuh untuk diproses menggunakan teknologi retort bagi memanjangkan jangka hayat makanan itu. 

"Jika usaha ini mencatatkan kejayaan, inisiatif ini boleh dikembangkan ke negeri lain termasuk dalam Program Food Bank Siswa menerusi konsep 'central kitchen' yang melibatkan pemberian makanan berbungkus," katanya. 

Nanta juga berharap lebih ramai syarikat, pengusaha makanan dan hotel menawarkan diri menjadi sebahagian daripada program food bank KPDNHEP yang bukan sahaja membantu golongan memerlukan, tetapi turut mengurangkan pembaziran makanan.

Untuk rekod, sejak program food bank dilancarkan pada 22 Dis 2018 seramai 624,845 ahli isi rumah menikmati bantuan itu selain 2,301 tan metrik lebihan makanan berjaya diselamatkan. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan