Kadar zakat fitrah di Kelantan kekal RM7

08/04/2021 05:08 PM

KOTA BHARU, 8 April -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal padar RM7.

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

Tengku Mohamad Rizam, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, berkata ketetapan harga zakat fitrah itu serta kadar nisab zakat harta telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“Kadar nisab zakat harta bagi Kelantan tahun ini sebanyak RM20,520 untuk haul antara Ramadan tahun ini hingga Ramadan tahun depan (1443H),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi MAIK e-Zakat Payment di www.e-maik.my.

“Pembayaran zakat boleh dibuat melalui institusi perbankan yang dilantik MAIK sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.

“Selain itu, menerusi Standard Chartered, Affin Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, OCBC Al-Amin, dan Agrobank,” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan