Kadar sisa makanan di Melaka dijangka meningkat sepanjang Ramadan

10/04/2021 10:53 PM

MELAKA, 10 April -- Kadar sisa makanan di Melaka dijangka meningkat sebanyak 20 peratus sepanjang Ramadan tahun ini, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khairuladha Ab Mutalib.

Beliau berkata peningkatan itu berdasarkan kajian komposisi tahun lepas yang merekodkan kadar pembuangan sisa makanan meningkat kepada 450 tan sehari semasa Ramadan berbanding 340 tan pada bulan biasa.

"Walaupun jumlah sisa buangan merekodkan penurunan sepanjang tempoh pandemik tahun lepas namun trend pembuangan sisa makanan tetap meningkat pada Ramadan. 

"Berdasarkan kajian komposisi tahun lepas, pembuangan sisa makanan pada Ramadan meningkat sebanyak 90 tan sehari," katanya.

Khairuladha berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Mendaya Komuniti Peringkat Negeri Melaka dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Melaka di sini hari ini. 

Program itu dilancarkan Pengerusi SWCorp Dr Daroyah Alwi dan turut hadir, Pengerusi PKN Melaka Abdul Wahab Ibrahim. 

Beliau juga berkata pihaknya menggalakkan pembeli membawa dan menggunakan bekas makanan sendiri ketika membeli juadah di Bazar Ramadan. 

"Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan peniaga Bazar Ramadan dan pihak berkuasa tempatan untuk menggalakkan penggunaan beg kitar semula " katanya. 

Dr Daroyah pula berkata MoU antara Swcorp dan PKN merupakan usaha memperkasa komuniti serta rakyat dalam program berkaitan kebersihan dan amalan 3R di peringkat komuniti. 

Beliau berkata ia melibatkan aktiviti penjagaan kebersihan seperti gotong-royong, Trash to Cash, pengumpulan minyak terpakai dan pendaftaran sukarelawan Hero Kebersihan. 

"Kita harap segala inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak dapat merealisasikan sasaran untuk mencapai 32 peratus kadar kitar semula kebangsaan yang ditetapkan pada tahun 2021," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan