Daerah Klang, Petaling, Hulu Langat penerima bantuan zakat tertinggi LZS

12/04/2021 02:32 PM

PUCHONG, 12 April -- Daerah Klang, Petaling dan Hulu Langat mencatatkan jumlah penerima bantuan zakat tertinggi dengan RM14.6 juta diagihkan daripada keseluruhan RM28 juta yang disalurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor tahun ini.

Menurut Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Abdul Basith Hamid, tiga daerah tersebut merekodkan jumlah asnaf fakir dan miskin teramai atas faktor miskin bandar.

"Daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 11,962 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,183,300. 

"lni diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 10,590 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,927,850 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM4,367,750 kepada 9,439 orang penerima," katanya selepas Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya LZS 2021, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir yang mengagihkan sumbangan kepada orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 dan RM1,000 bergantung pada  jumlah tanggungan masing-masing. 

Sementara itu, Abdul Basith berkata sebanyak RM3,034,500 diagihkan kepada 6,798 penerima di Kuala Selangor, manakala Gombak pula merekodkan 6,005 penerima membabitkan agihan berjumlah RM2,740,400 sementara di Hulu Selangor melibatkan 5,186 penerima dengan agihan zakat berjumlah RM2,367,400.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan  4,832 penerima membabitkan zakat berjumlah RM2,227,500, sementara Sabak Bernam merekodkan 4,726 penerima dengan agihan berjumlah RM1,997,600 dan di daerah Sepang sejumlah RM1,186,600 diagihkan kepada 2,547 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Asnaf juga boleh membuat semakan status Bantuan Ramadan dan Raya 2021 dengan melayari ezo.zakatselangor.com.my ataupun dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.  

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan