Agong mahu usaha lawan COVID, pemulihan ekonomi diutamakan sepanjang Darurat

12/04/2021 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 April -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa keutamaan dalam tempoh darurat hingga 1 Ogos ini  wajar diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan-tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Titah baginda, ini termasuk menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Pada masa sama, Seri Paduka menzahirkan jaminan bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Titah baginda, pada ketika  negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak COVID-19, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menasihati ahli-ahli politik negara agar merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan wabak COVID-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka menasihati ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang amat terkesan oleh ancaman wabak itu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Yang di-Pertuan Agong juga mahu ahli politik menjadi model peranan kepada rakyat dari segi penyatuan dan mengurus tadbir negara dengan baik, katanya.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti,” kata Ahmad Fadil.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan