WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan

13/04/2021 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 April -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerbitkan garis panduan untuk membantu orang ramai menyambut Ramadan, Wesak dan beberapa perayaan keagamaan utama yang lain dengan selamat memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Ying-Ru Lo berkata panduan itu dilengkapi dengan maklumat mengenai kaedah pelaksanaan ibadat mengikut amalan agama masing-masing.

Antaranya yang terkandung dalam panduan itu mengenai perhimpunan besar-besaran, poster dan paparan media sosial berkaitan langkah pencegahan yang selamat.

"Kami menggalakkan orang ramai untuk terus mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa kesihatan  kerana tingkah laku individu dan masyarakat adalah senjata paling ampuh untuk melawan pandemik dan menjadi tanggungjawab kita semua," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan menetapkan langkah-langkah pencegahan dan penjarakan sosial yang berbeza untuk mencegah penyebaran virus pada musim cuti dan ketika sambutan keagamaan, demi memastikan keselamatan kesihatan semua.

Sambutan perayaan mungkin berbeza tahun ini iaitu mengadakan majlis secara dalam talian, sambutan dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal serumah dan memberi lebih perhatian kepada penjarakan sosial jika perlu menyambutnya di luar.

"Dalam era inovasi sosial dan teknologi baharu ini, lebih mudah untuk kita berkumpul, walaupun terpisah, dan kita harus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini ketika tiba musim cuti.

“Kami gesa orang ramai mendapatkan vaksin berdasarkan jadual vaksinasi negara masing-masing walaupun pada hari cuti. Bagi yang menyambut Ramadan, suntikan vaksin COVID-19 tidak membatalkan  puasa," kata Dr Lo dalam satu kenyataan di sini hari ini .

Maklumat lanjut mengenai panduan itu boleh didapati https://www.who.int/westernpacific/news/feature-stories/detail/staying-safe-from-covid-19-during-religious-and-cultural-celebrations

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan