Pembelian juadah berbuka tetap meriah walaupun tiada bazar Ramadan

14/04/2021 09:49 PM

KOTA KINABALU, 14 April -- Aktiviti pembelian juadah berbuka puasa oleh penduduk di Sabah tetap meriah walaupun bazar Ramadan tidak dibenarkan diadakan tahun ini, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan mendapati, peniaga mengambil kesempatan untuk berniaga di tepi jalan dan di kawasan kompleks perniagaan serta rumah kedai, tidak kurang juga restoran menyediakan hidangan berbuka secara berbungkus atau lebih dikenali sebagai 'tapau', oleh penduduk tempatan di hadapan premis mereka.

Peniaga pelbagai jenis air minuman di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini Nurul Hidayah Jaafar, 24, berkata, beliau bersama keluarga memilih tepi jalan kawasan itu untuk berniaga, kerana trafik yang banyak di kawasan tersebut.

“Selalunya bila orang balik kerja akan lalu jalan ini, ramai juga lalu dan berhenti di tepi untuk beli, jadi cara ini memudahkan mereka yang sibuk bekerja, bila pulang rumah boleh berbuka sudah. Setakat ini banyak dijual air teh susu dan kacang soya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Nurul Hidayah berkata berniaga di tepi jalan mempunyai cabaran tersendiri berbanding bazar Ramadan, antaranya dalam memastikan keselamatan pelanggan dan trafik di jalan, selain jumlah pengunjung agak kurang berbanding bazar Ramadan.

Pada 7 April lepas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata, keputusan tidak membenarkan bazar Ramadan diadakan mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19 di Sabah, yang masih membimbangkan berikutan banyak kluster baharu berpunca daripada majlis sosial sejak kebelakangan ini. 

Peniaga restoran Abdul Malik Hamza, 51, berkata pada tahun-tahun sebelumnya, beliau bersama pekerjanya akan berniaga nasi beriani di bazar Ramadan sekitar Kota Kinabalu, bagaimanapun tahun ini beliau mengambil keputusan untuk membuka meja berniaga hidangan itu di hadapan restorannya di Kepayan di sini.

“Boleh tahan juga ramai datang, banyak orang 'tapau' beriani kambing, tetapi dahulu ada bazar Ramadan lagi meriah lagi banyak jual, tetapi sekarang COVID-19 sudah masuk kita semua kita patuh SOP (prosedur operasi standard), jadi kita cuba berniaga sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, walaupun menyukarkan peniaga, langkah untuk tidak membenarkan bazar Ramadan dan membenarkan peniaga menjual juadah di premis dan tepi jalan adalah terbaik, bagi memudahkan kawalan pengunjung mematuhi SOP pencegahan COVID-19.

Sementara itu tinjauan di kawasan Maruntum Putatan yang merupakan kawasan bazar Ramadan tumpuan utama penduduk Kota Kinabalu saban tahun mendapati, kawasan itu sunyi kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Isnin lepas.

Seorang penjawat awam Mohd Salleh Zulkefli, 45, berkata, beliau agak kecewa berikutan tidak dapat membeli pelbagai juadah Sabah dan Semenanjung di bazar Ramadan Maruntum Putatan seperti tahun sebelumnya, namun akur dengan SOP ditetapkan kerajaan. 

“Juadah tradisional Sabah seperti kuih jala dan kuih cincin juga juadah Semenanjung seperti nasi kerabu dan lemang ada dijual di internet dan gerai serta restoran, tetapi di bazar Ramadan, semua ada di sana rasa seronok jumpa pelbagai juadah di satu tempat,” katanya yang tinggal di Putatan.

Di SARAWAK, bazar Ramadan di Kuching yang kebiasaannya diadakan di kawasan Satok, Semarak dan Sukma Ria tidak dianjurkan tahun ini, susulan keputusan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Justeru itu, kebanyakan peniaga di Kuching menggunakan media sosial serta kemudahan dalam talian lain, untuk menjual makanan mereka secara terus kepada orang ramai.

Penjawat awam Nur Fatin Ahmad, 30, yang menggunakan kemudahan dalam talian untuk membeli juadah berbuka puasa berkata, langkah itu bertepatan bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 di dalam komuniti.

“Walaupun ‘mood’ bulan puasa itu sedikit terjejas kerana tiada bazar, namun bagi saya ia langkah yang perlu. Ia juga peluang untuk orang ramai untuk masak sendiri juadah berbuka yang lebih berkhasiat di rumah,” katanya.

Pada 7 April lalu, DBKU dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran bazar Ramadan dalam keadaan wabak ketika ini akan hanya meningkatkan risiko kontak rapat dan akan merencatkan usaha untuk mengekang penularan COVID-19 di Sarawak.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan