COVID: Sarawak perketat pergerakan rentas zon - Uggah

16/04/2021 06:20 PM

KUCHING, 16 April -- Berkuat kuasa Isnin depan, pergerakan merentas zon di Sarawak perlu mendapat kelulusan polis yang hanya akan mengeluarkan permit kepada mereka tersenarai dalam kategori perkhidmatan penting sahaja, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak berkata perkara berkenaan diputuskan oleh jawatankuasa itu setelah mendapati sebanyak 505 kes positif COVID-19 dan lapan kluster direkodkan sejak Januari lepas disebabkan oleh pergerakan antara zon.

“Senarai perkhidmatan penting adalah (sektor) pengangkutan awam; pemandu yang menghantar barang makanan dan keperluan harian; dan hal-hal kecemasan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Zon Kuching terdiri daripada Samarahan dan Serian; zon Sibu (Sibu dan Sarikei); zon Bintulu; serta zon Miri.

Sementara itu, mengenai waktu operasi bagi premis perniagaan pada bulan Ramadan, Uggah berkata hanya premis perniagaan yang menjalankan perniagaan runcit dan keperluan makanan sahaja dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam.

“Bagi pusat hiburan yang beroperasi seperti bistro dan kafe (termasuk pusat karaoke) hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam sahaja,” katanya.

Hari ini, Sarawak mencatat kes harian tertinggi sebanyak 960 kes jangkitan baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 22,920 kes.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan