Peniaga R&R 'tersepit'

18/04/2021 04:19 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

KUALA LUMPUR, 18 April -- Hanya bergantung harap kepada pengguna lebuh raya sebagai pelanggan utama, peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) kini 'tersepit’ sama ada mahu terus membuka pintu kedai masing-masing atau menutup periuk nasi mereka itu selamanya.

Di Melaka, kawasan R&R yang selalunya dikunjungi mereka dalam perjalanan sama ada ke Selatan atau ibu negara, ‘peritnya’ dapat dirasai.

Tinjauan Bernama mendapati R&R Ayer Keroh lengang dan sepi tanpa pengunjung dan terdapat beberapa gerai telah ditutup namun masih ada peniaga setia menunggu pelanggan.

Pekerja di gerai menjual masakan panas di kawasan itu Norafzan Suliman, 46, berkata sebelum ini hasil jualan harian gerainya boleh mencapai RM1,000 berbanding kini hanya sekitar RM100 ke RM200 sehari.

Katanya, keadaan ini bukan hanya dihadapi ketika bulan Ramadan tetapi dilalui sejak awal larangan rentas negeri dikuatkuasakan.

Malah ibu tunggal empat anak itu berkata gaji hariannya terpaksa dipotong majikan daripada RM50 kepada RM30 kerana tidak lagi mampu menanggung kos, selain jumlah pekerja turut dikurangkan kepada dua berbanding tiga sebelum ini.

Berkongsi masalah sama, Roslina Abd Rahman, 49, yang mengusahakan gerai menjual nasi campur di R&R Ayer Keroh berkata perniagaannya terjejas teruk dan dia tidak mampu menggaji pekerja untuk mengurus gerai tersebut.

"Untuk mendapat RM30 sehari pun susah apatah lagi untuk mendapat modal pusingan. Hendak tutup pula tidak boleh sebab sewa bulanan berjalan seperti biasa," katanya yang memaklumkan bahawa peniaga di situ telah membuat rayuan kepada penyewa untuk mengurangkan kadar sewa, namun belum ada kata putus.

Keadaan sama diperhatikan di Perak apabila seorang peniaga nasi lemak di R&R Bukit Gantang, Nur Liyana Atikah Mohamad Zainuddin, 28, mengakui terjejas selepas larangan rentas negeri dikuatkuasakan.

"Dahulu saya menjual sebanyak 100 bungkus nasi lemak setiap hari tetapi kini terpaksa dikurangkan kepada hanya kira-kira 30 bungkus malah kadang-kadang masih banyak tidak terjual," katanya.

Keadaan sedikit berbeza di R&R Batu 2 1/2, Simpang di Taiping, yang masih menjadi kunjungan ramai namun ia disebabkan penganjuran bazar Ramadan di sini.

Di Pahang, situasi peniaga di R&R ‘sedikit baik’ yang mana pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad beberapa kali memberi pengecualian bayaran sewa membolehkan mereka terus 'bernafas' walaupun berdepan situasi sukar. 

Pengerusi Peniaga R&R Gambang Barat Azwariah Abdul Wahab, 46, berkata ANIH Berhad mengecualikan bayaran sewa beberapa kali tahun lepas dan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini kerana tiada pergerakan rentas negeri dibenarkan.

"Semasa rentas negeri dibenarkan sekejap tahun lepas kami juga diberikan potongan sewa 50 peratus yang amat membantu kerana R&R sudah kurang meriah. Kebanyakan yang singgah ialah pemandu lori, treler dan bas ekspres," katanya.

Walaupun ‘dibantu’ ANIH Berhad, peniaga nasi ayam di R&R Gambang Barat, Nazri Mohammad, 36, yang sudah 10 tahun berniaga berkata dia tetap kehilangan dua pekerjanya yang berhenti kerana sukar bertahan dengan gaji harian tidak menentu ekoran kemerosotan jualan. 

"Dahulu memang meriah, tetapi kini hanya berharap pada golongan yang boleh merentas negeri. Syukur juga sempadan daerah telah dibuka. Walaupun tidak begitu ramai, ia membantu menambah pendapatan, selain keprihatinan pengurusan konsesi yang tidak terlalu menekan soal sewa," katanya. 

Peniaga buah-buahan di R&R Gambang Timur Adnan Mamat, 43, pula berkata dia mengambil peluang berniaga di bazar Ramadan sebagai tambahan pendapatan supaya tidak terlalu bergantung kepada jualan di R&R yang kini kurang meriah berbanding situasi sebelum pandemik COVID-19.  

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan