SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari bermula Rabu ini, libatkan 12 barangan

19/04/2021 05:12 PM

PUTRAJAYA, 19 April -- Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, akan dilaksanakan selama 30 hari bermula Rabu ini hingga 20 Mei ini, melibatkan 12 jenis barangan, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Beliau berkata, skim itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan, serta menjelang perayaan Hari Raya Puasa.

“Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Hari Raya Puasa 2021 itu melibatkan 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 itu di kementeriannya di sini, hari ini.

Nanta berkata, pelaksanaan skim itu akan memberikan mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit, bahawa kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, iaitu pada bila-bila masa boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.

“Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa sebelum Ramadan dan menjelang perayaan,” katanya.

Nanta berkata, 12 barangan yang terlibat dalam pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 itu membabitkan empat kategori iaitu, ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Bagi kategori ayam, ia melibatkan ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) serta ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

Kategori daging pula melibatkan daging lembu tempatan (harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja); daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja) dan daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja).

Untuk kategori telur ayam ia melibatkan telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram (g) hingga dan 69.9g sebiji); telur ayam gred B (berat antara 60.0g hingga 64.9g sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0g hingga 59.9g sebiji);

Kategori hasil laut pula ialah ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram (kg)); ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kg) dan ikan aya atau tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kg).

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan kos semasa dan trend harga semasa,” katanya.

Nanta berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit, berdasarkan kepada maklumat harga daripada beberapa punca.

Beliau berkata, antaranya ialah pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2020 dan pada bulan Januari sehingga April 2021, berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh kementerian.

Nanta berkata, harga juga ditentukan menerusi pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta maklumat daripada pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” katanya.

Nanta dalam pada itu berkata, senarai barangan yang terlibat dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021 itu akan ditambah lagi menjelang perayaan.

“Mungkin 20 lagi barangan akan ditambah dalam skim ini, dan kita akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengenal pasti apakah jenis barang yang akan ditambah,” katanya.

Nanta berkata, peniaga yang sengaja menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi berlebihan, akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata 2,300 pegawai Penguat Kuasa KPDHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya, untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan, bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika, semasa musim perayaan.

“Saya ingin tekankan bahawa peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan