Skim harga: Peniaga degil dikompaun serta merta - KPDNHEP

22/04/2021 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 April  -- Peniaga yang masih berdegil dan gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 akan dikenakan tindakan kompaun serta merta.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Zubir Hamsa berkata tindakan itu akan dikenakan kepada peniaga yang masih berdegil meskipun telah diberikan amaran sebelum ini.

“Pada hari pertama pelaksanaan SHMMP (semalam), pihak KPDNHEP telah memberikan amaran kepada peniaga yang menaikkan harga. Selepas ini tiada lagi amaran, dan kompaun dikeluarkan sekiranya peniaga menjual barangan runcit dengan harga yang mahal,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pasar Awam Besar Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Katanya SHMMP dilaksanakan sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 atau 14 Mei depan di seluruh negara.

Merujuk kepada tinjauan pematuhan SHMMP semalam, Zubir berkata 275 premis diperiksa meliputi Pasar Awam Selayang, Pasar Awam Keramat, pasar raya serta kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur dan seramai lapan peniaga diberikan amaran atas kegagalan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

Semalam, SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikuatkuasakan selama 30 hari bermula 21 April sehingga 20 Mei depan.

Sementara itu di PORT DICKSON, KPDNHEP Negeri Sembilan menasihatkan pengguna supaya membuat aduan berkenaan kenaikan harga barang menerusi saluran yang tepat, dan bukannya menerusi media sosial.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata pihaknya menerima banyak rungutan pengguna dalam media sosial namun masalah itu tidak dilaporkan terus kepada KPDNHEP. 

“Terdapat lapan saluran disediakan antaranya menerusi aplikasi WhatsApp. Jika ada kenaikan harga barangan contohnya ayam, mereka perlu membuat aduan lengkap iaitu maklumat pengadu, lokasi jualan, masa dan tarikh," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 peringkat negeri di Port Dickson hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan. 

Katanya, pengguna boleh membuat aduan antaranya menerusi https://eaduan.kpdnhep.gov.my, panggilan telefon call centre di talian 1800886800, e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my dan WhatsApp di talian 0192794317.

Sementara itu di KANGAR pula, beberapa peniaga daging lembu tempatan di Perlis menyuarakan harapan agar kerajaan menimbangkan semula penetapan harga daging lembu tempatan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa bagi daging lembu tempatan, yang dilihat merugikan mereka.

Rata-rata kalangan mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian kerana harga yang diperolehi dari pembekal adalah tinggi berbanding dengan harga kawalan iaitu RM34 sekilogram.

Pengerusi  Persatuan Penternak Ruminan Negeri Perlis Abdullah Nayan meminta kerajaan mengkaji semula penetapan harga runcit bagi daging lembu tempatan kerana ia membebankan peniaga yang terpaksa menanggung pelbagai kos.

“Harga lembu hidup pada tahun ini meningkat kepada RM16 hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 hingga RM13 tahun lepas dan harga daging pejal yang diperoleh daripada pemborong adalah sekitar RM40 sekilogram,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya beliau berharap pihak kerajaan memberi insentif jualan sepertimana diberikan kepada petani agar peniaga daging dapat menanggung kerugian akibat harga kawalan.

Turut berkongsi pendapat yang sama ialah peniaga daging Yusaidi Mustafa, 46 yang berkata harga yang ditetapkan kerajaan itu memberi kesan kepada peniaga daging yang terpaksa menanggung kerugian.

“Saya harap kerajaan mengkaji semula harga itu dan meletakkan harga kawalan sekurang-kuranganya kepada RM40 sekilogram,” katanya.

Sementara itu Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Azizan Sulaiman berkata pihaknya masih belum mendapat maklum balas rasmi daripada peniaga daging mengenai perkara itu.

“Sekiranya terdapat aduan rasmi daripada peniaga mahupun persatuan, saya akan bertindak membawa perkara ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tidak ada salah faham,” katanya.

Beliau seterusnya menasihati peniaga agar mematuhi harga kawalan yang telah ditetapkan kerana keputusan kawalan harga barang dibuat berdasarkan kajian secara teperinci yang dibuat sebelum ini.

--BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan