Langganan sukuk 6.4 kali cermin keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi M'sia - PM

23/04/2021 08:39 PM

MUAR, 23 April -- Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia yang mencatatkan langganan 6.4 kali semalam mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan ekonomi negara untuk kembali kukuh meskipun berdepan dengan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bukan itu sahaja, sebelum ini juga Bank Dunia telahpun membuat unjuran yang ekonomi Malaysia berkembang sebanyak enam peratus tahun ini manakala kerajaan menetapkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara enam hingga 7.5 peratus.

"Bila kita buka sukuk, pinjaman bon antarabangsa yang dikeluarkan oleh Malaysia semalam, pada asal nya (saiz terbitan) adalah US$1 billion, kita naikkan kepada US$1.3 billion, kerana lebih langganan.

“Langganan enam kali ganda lebih apa maknanya? Kepercayaan masyarakat antarabangsa bahawa negara kita mempunyai potensi (ekonomi) tumbuh lebih cepat dari banyak negara. Antara negara yang paling tinggi pencapaian (unjuran) keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding kebanyakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil serta Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan di Masjid Jamek Haji Muhammad Yassin, Pagoh, di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah US$800 juta dan sukuk bertempoh matang 30-tahun US$500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata penerbitan sulung Sukuk Kelestarian itu turut menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan