Sasar setiap daerah miliki seorang jurubahasa isyarat bertauliah

24/04/2021 03:51 PM

KUANTAN, 24 April -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyasarkan setiap daerah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya seorang jurubahasa isyarat Bahasa Melayu (BM) bertauliah, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata setakat ini hanya terdapat 60 jurubahasa isyarat BM bertauliah di seluruh negara dengan majoritinya berada di ibu negara menyebabkan KKMM memulakan gerak kerja bagi menambah jumlah golongan berkenaan. 

"Buat masa sekarang, KKMM sedang menyediakan modul kursus jurubahasa isyarat dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan pengambilan calon kursus bermula Julai ini. Untuk permulaan ia melibatkan Bahasa Melayu sebelum disusuli bahasa utama lain. 

"Kita juga sedang menyusun gerak kerja supaya walaupun jurubahasa isyarat ini bukan jawatan tetap, namun apabila perkhidmatan mereka diperlukan, ada spesifik jumlah honorarium yang mungkin ditentukan mengikut jumlah jam atau sebagainya," katanya. 

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ahli persatuan OKU di sini hari ini. 

Keberadaan jurubahasa isyarat bertauliah di setiap daerah juga, menurut Saifuddin dapat membantu memudahkan penyampaian mesej pada penganjuran program rasmi kerajaan di daerah yang melibatkan masyarakat OKU.

Walaupun pengambilan calon bagi mengikuti kursus itu terbuka kepada semua, namun keutamaan diberikan kepada golongan OKU khususnya kategori fizikal kerana dapat memberikan pendapatan tambahan apabila khidmat mereka digunakan. 

Selain itu, Saifuddin berkata KKMM akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya khidmat jurubahasa isyarat digunakan pada khutbah Jumaat dengan sasaran sekurang-kurangnya sebuah masjid di daerah besar mempunyai khidmat jurubahasa berkenaan bagi kemudahan jemaah pekak dan bisu. 

Setakat ini, hanya segelintir masjid di Malaysia yang mempunyai jurubahasa isyarat yang dilakukan secara sukarela dan di Indera Mahkota, Saifuddin berkata Masjid Panglima Perang Tengku Muhammad di Sungai Karang akan menjadi masjid pertama 'memiliki' jurubahasa tersebut. 

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan