Peniagaan rempeyek 'Wow Merecik' Kak Cun terus jana pendapatan di sebalik COVID-19

26/04/2021 11:05 AM

Oleh Nursyabiha Sukri

SEREMBAN, 26 April -- Bermula berniaga secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Amir Ismail, 51, dan Raja Fadilah Raja Deraman, 48, tidak menyangka perniagaan rempeyek yang diusahakan sejak empat tahun lalu, kini mendapat sambutan mengalakkan sehingga mereka tidak 'menang tangan'.

Hanya bermodalkan RM600, produk keluaran syarikat Rempeyek Kak Cun Enterprise itu kini berada di pasaran sekitar Lembah Klang, Seremban dan Muar serta mempunyai beberapa agen yang membantu pasangan itu meraih pendapatan bersih kira-kira RM5,000 sebulan bagi meneruskan kelangsungan hidup menyara dua anaknya berusia 21 dan 25 tahun.

Meskipun negara masih terjejas dengan penularan COVID-19 dan Aidilfitri kali ini mungkin tidak dibenarkan rentas negeri, namun Rempeyek Kak Cun dengan slogan ‘Wow Merecik’ itu tetap ada permintaan dan kian diminati ramai.

"Walaupun sedikit terjejas akibat COVID-19, kami tetap meneruskan perniagaan dan tidak menyangka rezeki menjelang raya ini semakin banyak, Alhamdullilah. Pada awal perniagaan, saya hanya ada seorang  pekerja, tetapi kini sudah ada tujuh orang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Fadilah, berkata setiap kali musim perayaan, perniagaan yang diusahakan bersama-sama suami, 51, yang juga pesara pegawai waran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mencecah tiga kali ganda berikutan permintaan tinggi dan beliau terpaksa menutup tempahan seawal minggu pertama Ramadan.

Fadilah, berkata produk rempeyek hasil resipi yang dipelajari daripada seorang rakan di Pulau Pinang itu mempunyai lima jenis iaitu kacang tanah dan ikan bilis, kacang dal, ikan bilis, kuaci serta kacang hijau dan dijual sebalang antara RM20 sehingga RM25 bagi setiap 450 gram.

Berkongsi tentang rutin hariannya, Fadilah berkata selepas menunaikan solat Subuh, beliau akan memulakan membuat bancuhan rempeyek dan aktiviti mengoreng akan bermula dari 8 pagi sehingga 5 petang dengan dibantu pekerjanya.

Katanya setiap hari, mereka mampu menyiapkan 17 kilogram adunan rempeyek yang menghasilkan sembilan balang bagi setiap sekilo adunan dengan rempeyek kacang tanah paling digemari dan sudah mendapat lebih 2,000 balang tempahan bagi sambutan Aidilfitri kali ini.

Fadilah, berkata beliau bersyukur perniagaan mereka bukan sahaja menambah pendapatan keluarganya malah dapat berkongsi rezeki dan memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk menjadi agen.

Untuk perancangan mengembangkan perniagaan, Fadilah berkata beliau sedang berusaha mengumpul modal sekurang-kurangnya RM300,000 bagi membina kilang rempeyek yang dilengkapi peralatan moden serta beberapa perkara lain termasuk mengajikan pekerja yang lebih ramai.

"Memang kami ada perancangan ke arah itu, cuma kami masih baharu dan perlu belajar banyak lagi mengenai selok-belok perniagaan seperti persiapan mental dan fizikal. Buat masa ini, kami perlu meneruskan perniagaan ini secara kecil-kecilan kerana ia adalah pendapatan tetap kami," katanya yang sentiasa menitikberatkan kualiti produk keluaran syarikatnya itu.

Menurutnya Jabatan Pertanian Negeri Sembilan antara agensi yang membantu perniagaan mereka dengan menyumbang sebanyak 10,000 ribu bungkusan plastik bagi mengekalkan kualiti rasa rempeyek Kak Cun agar tetap ranggup sepanjang masa.

Menariknya, Fadilah berkata rempeyek Kak Cun ini sudah berada di 60 kedai Mesra stesen Petronas, kebanyakannya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan serta 22 cawangan Elewsmart milik pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Liew.

"Harapan saya, ada agensi kerajaan yang dapat membantu memberikan pinjaman lebih RM100,000 untuk membesarkan peniagaan saya ini dan untuk berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan