Agong berkenan santuni, kurnia sumbangan kepada warga Kuantan yang memerlukan

27/04/2021 06:09 PM

KUANTAN, 27 April  -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 156 penerima daripada golongan yang memerlukan di tiga masjid dalam daerah ini. 

Al-Sultan Abdullah turut berkenan memandu sendiri kenderaan ke Masjid Kampung Sepat, Kampung Kuala Penor dan Kampung Cherok Paloh yang setiap satu melibatkan 52 penerima terdiri daripada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan B40. 

Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi anakanda,  Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah. 

Majlis pengurniaan berlangsung secara ringkas bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Pahang dan Seri Paduka Baginda juga berkenan untuk bertanya khabar penerima yang semuanya meluahkan rasa syukur dengan “rezeki Ramadan” yang tidak diduga dalam bentuk barangan dapur dan wang tunai. 

Peniaga sayur kecil-kecilan Hussein Abdullah, 66, yang terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak juga tidak menyangka kelibatnya di sebalik tiang semasa menunggu isterinya mengambil bantuan mendapat perhatian Seri Paduka Baginda untuk berhenti dan bertanyakan khabar. 

"Saya tidak masuk kerana sukar untuk saya bersila dalam masjid. Saya lihat Seri Paduka Baginda sudah hendak berangkat pulang apabila baginda terlihat saya lalu datang bertanya apa sakit saya," katanya yang diserang angin ahmar kira-kira empat tahun lepas. 

Penduduk Kampung Sepat Noriah Deraman, 59, berkata dia mahu menyimpan sumbangan itu kerana pendapatan bulanannya sebagai tukang sapu tidak besar manakala sumbangan barangan dapur membantu meringankan beban kewangannya untuk beberapa bulan.  

Bagi pembantu kedai Mat Aris Omar, 36, dari Kampung Kuala Penor pula berkata bantuan itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk menyambut Aidilfitri memandangkan dia masih belum membuat persiapan raya ekoran pendapatan tidak menentu. 

"Anak ada beberapa kali bertanya (persiapan raya). Alhamdulillah petang semalam saya terima panggilan telefon memaklumkan untuk datang ambil bantuan... memang tak jangka dan ini rezeki anak-anak," katanya.

Sementara itu, beberapa peniaga makanan dan minuman di simpang keluar Cherok Paloh “menerima kejutan” apabila Al-Sultan Abdullah serta putera-putera baginda berkenan mencemar duli singgah membeli juadah berbuka puasa ketika berangkat pulang ke Kuantan. 

Noridah Yakub, 46, yang menjual nasi berlauk dan kuih-muih berkata Seri Paduka Baginda membeli pelbagai juadah sinonim untuk berbuka puasa seperti ayam percik serta opor daging dan sempat bertanyakan keadaannya sementara menanti juadah dibungkus. 

"Ini kali pertama saya dapat bertemu Seri Paduka Baginda walaupun sebelum ini, pernah berniaga di Kuantan. Tuanku juga ada bertanya jika makanan itu dimasak sendiri selain dari mana saya berasal," katanya. 

Peniaga air Ahmad Faris Sufyan M Rozal 30, pula berkata Seri Paduka Baginda berkenan membeli 15 bungkus air seperti air keladi, air jagung, sirap bandung dan teh bunga daripada gerainya. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan