Agong santuni, kurnia sumbangan kepada penduduk Pekan

28/04/2021 05:54 PM

PEKAN, 28 April  -- Selepas Kuantan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan pula untuk mencemar duli menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 154 penerima daripada golongan yang memerlukan di Daerah Pekan, hari ini. 

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke tiga masjid sekitar daerah itu diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah. 

Majlis yang berlangsung secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 itu melibatkan masing-masing 52 penerima di Masjid Kampung Tanjung Batu dan Masjid Kampung Pasir Panjang manakala 50 penerima lagi di Masjid Kampung Tanjung Medang. 

Mereka yang terdiri daripada warga emas, anak yatim, asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan setiap seorang menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas. 

Seorang penerima Syed Bakri Syed Mokhtar, 46, dari Kampung Tanjung Batu berkata akan mengutamakan bantuan kewangan itu untuk membeli peralatan sekolah dua anaknya berusia 13 dan 14 tahun memandangkan pendapatannya yang bekerja sendiri hanya sekitar RM800 sebulan. 

"Gaji sebelum ini dan simpanan telah digunakan untuk membayar yuran sekolah menyebabkan ada peralatan termasuk buku latihan yang belum dibeli. Anak sulung pula diterima masuk ke asrama sekolahnya dan masih ada kelengkapan dia yang belum disediakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Syed Bakri berkata dia tidak putus-putus mengucapkan syukur sejak menerima panggilan daripada Tok Ampat (Ketua Kampung) pada petang semalam, yang memintanya hadir ke masjid bagi mengambil bantuan itu. 

Bagi Nur Azumah Osman, 62, sumbangan itu akan diagihkan kepada lapan orang anaknya untuk digunakan membuat persiapan hari raya sebagai “berkongsi rezeki dan tanda ingatan” memandangkan dia tidak menjangka akan terpilih sebagai salah seorang penerima.

Sementara itu, Ali Jafar, 63, dari Kampung Tanjung Medang menyatakan hasrat mahu menyimpan wang sumbangan itu sebagai persediaan masa hadapan memandangkan pendapatan bulanannya yang juga bekerja sendiri tidak menentu. 

"Bulan Ramadan lagi kurang  gaji kerana tiada kerja... saya berterima kasih dengan sumbangan ini tapi agak sayang jika hendak dihabiskan untuk Aidilfitri. Raya untuk kami sekeluarga lebih baik dibuat secara sederhana, asalkan masih ada (duit) simpanan," katanya. 

Ibu tunggal lima anak, Aishah Husin, 59, pula berkata bantuan barangan keperluan yang diterimanya membantu dia menjimatkan perbelanjaan barangan rumah manakala sumbangan wang tunai membolehkannya membuat persiapan hari raya. 

-- BERNAMA 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan