Kebajikan hampir 10,000 pekerja MAHB tetap jadi keutamaan

28/04/2021 09:33 PM

ALOR SETAR, 28 April -- Kebajikan hampir 10,000 pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tetap menjadi keutamaan pihak pengurusan kumpulan pengendali lapangan terbang itu meskipun negara berhadapan dengan ekonomi tidak menentu ekoran pandemik COVID-19.

Pengerusi MAHB Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata beberapa langkah telah diambil untuk memastikan hal ehwal dan kebajikan pekerja mereka sentiasa dijaga dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, MAHB juga sangat menitikberatkan aspek kawalan rapi di lapangan terbang yang menjadi pintu masuk utama ke negara ini dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

Zambry berkata MAHB memperuntukkan RM120 juta sebulan bagi menampung kos pengurusan lapangan terbang di seluruh negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan asas di bawah program #MYAirportCARES  Ceria Ramadan kepada golongan B40 serta warga kerja Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Mengenai nasib peniaga di lapangan terbang, beliau berkata ada peniaga yang terpaksa gulung tikar kerana perniagaan mereka terjejas apabila tiada aktiviti penerbangan domestik dan antarabangsa berikutan penularan COVID-19, namun ada juga yang masih bertahan.

Sementara itu, beliau berkata seramai 1,000 penerima daripada golongan B40 di seluruh negara akan menerima manfaat inisiatif #MYAirportCARES Ceria Ramadan yang juga program tanggungjawab sosial korporat MAHB melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM400,000.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan