Usaha agih wang zakat kepada golongan asnaf perlu dipertingkat - Pemangku Raja Pahang

30/04/2021 05:32 PM

KUANTAN, 30 April  -- Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) supaya mempertingkatkan usaha mengagihkan wang zakat kepada golongan asnaf.

Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah, perkara itu amat penting kerana golongan berkenaan dilihat memerlukan bantuan terutama ketika Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.

"Semua rakyat Pahang beragama Islam diseru agar segera menunaikan zakat fitrah yang merupakan Rukun Islam yang keempat," titah Tengku Hassanal dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media selepas baginda membayar zakat fitrah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Pembayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui para amil yang dilantik oleh MUIP atau secara dalam talian melalui laman sesawang MUIP atau Pahang Go.

Tengku Hassanal juga menyeru kepada rakyat dan badan korporat yang berkemampuan serta cukup syarat supaya membayar zakat harta.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat di Pahang yang disifatkan sebagai wira tidak didendang dalam menyumbang pembangunan asnaf di negeri ini. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan