Peniaga akur bazar Ramadan diarah tutup

01/05/2021 12:30 PM

JOHOR BAHRU, 1 Mei -- Walaupun sedih dan kecewa kerana bazar Ramadan diarah tutup namun peniaga di bazar Ramadan @Mart Kempas akur kerana tidak mahu menjadi punca kepada penularan baharu COVID-19.

Seorang peniaga bazar berkenaan Muhammad Zulhilmi Mahmud, 28, berkata dia mendapat maklumat berhubung perkara itu semalam daripada penganjur yang menyatakan tapak perniagaan itu perlu ditutup bermula hari ini (1 Mei) sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

“Mula-mula rasa sedih apabila dapat tahu tentang perkara ini, sebab peniaga-peniaga di sini baru mendapat rentak untuk berniaga semula.

“Tetapi pada akhirnya kita tidak boleh pentingkan diri sendiri, walaupun ada rasa ketidakpuasan hati, mahu atau tidak kita tetap kena ikut arahan. Selepas ini, kita akan beroperasi di kedai sendiri sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di bazar Ramadan berkenaan.

Bagi Mastura Sonhaji, 18, dia membuat perancangan untuk mencari alternatif lain dengan berniaga di pasar malam atau bazar Ramadan berdekatan selepas mengetahui tentang arahan penutupan bazar itu.

“Terkejut juga bila dapat tahu bazar perlu ditutup kerana dalam notis hanya tulis kawasan bazar berisiko tinggi. Penutupan ini menjejaskan peniaga tetapi kita reda dan selepas ini, kita merancang untuk berniaga di pasar malam atau bazar Ramadan berhampiran,” katanya.

Norliza Omar, 35, berkata, dia mengharapkan agar arahan penutupan itu tidak terlalu lama kerana peniaga perlu mencari pendapatan memandangkan sambutan Aidilfitri tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi.

“Peniaga di sini mungkin ada yang sudah membeli barangan tambahan untuk dua minggu lagi bazar… kesian juga kepada mereka. Kita harap arahan ini tidak terlalu lama kerana suami juga tidak lagi bekerja di sebuah hotel di bandar raya ini dan sekarang hanya membantu saya berniaga,” katanya. 

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil dilaporkan berkata empat bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga selepas tapak perniagaan itu dikunjungi individu disyaki positif COVID-19. 

Beliau dipetik sebagai berkata penutupan berkenaan melibatkan bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan bazar Ramadan @Mart Kempas di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 Dua lagi ialah bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan bazar Ramadan Lok Heng dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan