Pengguna disaran nikmati harga lebih murah di pasar tani

01/05/2021 02:01 PM

ALOR GAJAH, 1 Mei  -- Pengguna disaran berbelanja di pasar tani atau outlet di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membolehkan mereka menikmati harga lebih murah untuk pelbagai barangan segar dan berkualiti.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata inisiatif itu bagi membantu pengguna mengurangkan beban kenaikan harga barangan makanan khususnya dalam tempoh penularan COVID-19.

"Sebanyak 500 pasar tani dan 3,000 outlet yang menjual pelbagai barangan dapur dan keperluan dibuka di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan barangan berkenaan.

"Pengguna boleh mendapatkan potongan harga antara lima hingga 10 peratus secara terus daripada peniaga dan secara tidak langsung akan memberi penjimatan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan MyRakyat 'Melaka Agro Market' di Pasar Tani Masjid Tanah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Mengulas lanjut, beliau berkata kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pasar tani di seluruh negara dibuka setiap hari bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan asas.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata FAMA melaksanakan pelbagai aktiviti, program dan memberi sumbangan makanan kepada lebih 2,000 penerima di seluruh negara terdiri daripada golongan asnaf menerusi Program Jelajah Ramadan FAMA 2021.

Beliau berkata program jelajah berkenaan sebahagian daripada inisiatif 'MAFI Prihatin' dalam usaha mendekati masyarakat setempat, memperkenalkan fungsi dan peranan FAMA serta membantu golongan  memerlukan.

"Program ini sebahagian daripada kebajikan yang FAMA laksanakan dan ia tidak hanya menggunakan pada duit kerajaan sahaja sebaliknya program, aktiviti atau bantuan yang dilakukan turut disumbangkan oleh peserta pasar tani dan pengunjung...ia bergantung pada kreativiti setiap negeri," katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan