Semua sekolah di Selangor ditutup mulai Khamis- MB Selangor

05/05/2021 05:48 PM

SHAH ALAM, 5 Mei -- Semua institusi pendidikan di seluruh negeri Selangor ditutup bermula esok hingga 17 Mei, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata arahan penutupan itu merangkumi semua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Semua sekolah kebangsaan, sekolah harian dan sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor serta sekolah swasta, kita berharap dapat menurut arahan ini untuk tidak beroperasi sehingga selepas Aidilfitri dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ini mengambil kira tempoh cuti yang lazimnya dimulakan pada Isnin iaitu 10 Mei.

Beliau berkata keputusan penutupan dua hari awal sebelum cuti persekolahan bermula dibuat setelah mendapati masih berlaku risiko penularan jangkitan COVID-19 di sekolah.

Bagaimanapun, katanya pusat asuhan masih dibenarkan dibuka memandangkan ia adalah keperluan untuk ibu bapa yang bekerja ketika tempoh PKP.

Amirudin berkata bagi pelaksanaan PKP di enam daerah terlibat, operasi Bazar Ramadan di semua enam daerah itu tidak lagi dibenarkan bermula Sabtu ini (8 Mei).

“Dengan mengambil kira jumlah hari perniagaan mereka mencapai 25 hari menjelang Jumaat nanti saya kira tidaklah begitu kejam untuk menutup operasi bazar-bazar Ramadan ini, “ katanya. 

Beliau berkata bagi Bazar Aidilfitri dan pasar malam, peniaga dibenar beroperasi sepanjang tempoh PKP sehingga 10 malam dengan syarat yang ketat. 

“Jumlah pengunjung pada satu-satu masa adalah dihadkan kepada 50 peratus kapasiti mengikut saiz bangunan dan premis serta sistem nombor giliran akan dikuatkuasakan. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke bazar,” katanya.

Beliau berkata jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk menutup bazar itu. 

Selain itu Amirudin berkata makan di restoran tidak dibenarkan di semua restoran dan hotel di enam daerah PKP termasuk bufet Ramadan mulai esok manakala kedai runcit, stesen minyak dan restoran boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh PKP.

“Perincian selain daripada yang di atas adalah tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga bersetuju menyalurkan bantuan RM500 kepada setiap penjaja yang terjejas disebabkan arahan penutupan bazar Ramadan bagi meringankan beban mereka.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan