Penduduk Machang Bubok berbuka puasa dalam banjir kilat

06/05/2021 02:48 AM

BUKIT MERTAJAM, 5 Mei -- Puluhan rumah di Machang Bubok di sini mengalami banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam yang melanda kawasan berkenaan sejak 5 petang tadi.

Kejadian banjir kilat itu turut menyebabkan penduduk di Kampung Tok Musa, Taman Seri Janggus, Taman Impian, Bukit Teh dan Taman Sejahtera di Machang Bubok terpaksa berbuka puasa dalam keadaan rumah yang digenangi air banjir sedalam 0.2 hingga 1 meter.

Seorang penduduk Surihani Abdul Ghani, 32, berkata beliau dihubungi ibunya memaklumkan rumah mereka dimasuki air banjir selepas hujan lebat di kawasan rumah mereka sebelum dia menghubungi adik lelakinya yang tinggal di kawasan sama bagi membantu ibu mereka.

"Waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Perai kerana baru selesai kerja dan mak bagitahu hujan lebat serta air telah mula masuk ke dalam rumah dengan cepat...saya pesan kat ibu selamatkan diri dulu.

"Nasib baik tindakan pantas adik berjaya menyelamatkan beberapa barangan elektrik dan kelengkapan untuk sambutan perayaan Aidilfitri termasuk pakaian baru dibeli, paling penting mak dan dua anak perempuan saya berusia dua serta empat tahun juga selamat," katanya ketika dihubungi malam ini.

Surihani berkata semasa kejadian, suaminya tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu treler dan banjir kilat itu berlaku dengan pantas malah arus airnya juga deras serta berbahaya kepada warga emas dan kanak-kanak.

"Kami terpaksa berbuka puasa dalam air banjir kerana mak sempat masak sebelum hujan lebat lagipun memang tak fikir nak keluar pergi ke kedai," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Syukran Hashim, 52, berkata kejadian banjir kilat itu berlaku sangat pantas iaitu kira-kira sejam selepas hujan lebat dan air mula memasuki rumahnya dalam tempoh lima minit sahaja serta hanya sempat menyelamatkan barangan elektrik di bahagian dapur.

Katanya, air banjir mula masuk ke rumahnya melalui ruang dapur dan ketika itu isterinya sedang memasak juadah berbuka manakala dia dan dua cucunya (lelaki dan perempuan) sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Tak sangka hujan kali ini akan menyebabkan banjir kilat di rumah saya kerana rumah berada di kawasan agak tinggi, tapi kali ini air naik sangat cepat...kali ini juga kami ‘berpengalaman’ berbuka dalam banjir di rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad ketika dihubungi Bernama berkata banjir kilat di kawasan Machang Bubok mula surut sejak pukul 9 malam dan setakat ini tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Beliau berkata bagaimanapun polis dan pihak berkuasa lain memantau kawasan berkenaan dan akan mengambil langkah segera jika hujan lebat semula malam ini.

Sementara itu, di Kepala Batas dan Sungai Dua dekat sini, puluhan khemah peniaga bazar Ramadan di dua kawasan tersebut rosak teruk selepas hujan lebat dan ribut kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Seorang peniaga di Bazar Ramadan Bertam Putra, Kepala Batas, Khairol Azelan Abdul Rashid, 25, berkata beliau sedang menyediakan roti john sebelum tiba-tiba hujan lebat disusuli dengan ribut yang turut merosakkan khemah-khemah peniaga di situ.

"Masing-masing (peniaga) ketika itu hanya fikir untuk menyelamatkan diri kerana angin sangat kuat dan hujan juga lebat dan boleh dikatakan bukan sahaja khemah diterbangkan ribut malah barangan jualan seperti makanan dan minuman juga rosak.

"Kerugian mungkin ribuan ringgit kerana banyak juga peralatan untuk berniaga rosak, nak buat macam mana benda dah jadi," katanya yang sedih dengan kejadian tersebut.

-- BERNAMA 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan