Program Infaq 10 Ramadan ubati kerinduan pelajar di Canberra

06/05/2021 03:21 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei  -- Seramai 100 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Canberra, Australia, seumpama dibawa pulang ke kampung halaman pada Ramadan ini apabila mereka disajikan dengan hidangan popular Malaysia seperti nasi lemak, ayam percik dan sate untuk berbuka puasa.

Program Infaq 10 Ramadan yang dianjurkan oleh Asian Taste Canberra dengan kerjasama Pertubuhan Pelajar Malaysia (MSO), mengedarkan pek makanan serta mempromosikan kebersamaan dan perkongsian di bulan yang mulia ini.

Program yang ditaja oleh Serba Dinamik Group Berhad itu berlangsung dari 3 hingga 12 Mei ini.

"Sudah diketahui umum bahawa sebilangan pelajar di luar negara menghadapi kekangan kewangan manakala memasak atau membeli makanan boleh menjadi bebanan buat mereka. Justeru kami ingin mengurangkan bebanan mereka dengan membantu menyediakan menu untuk berbuka puasa," kata Pengarah SD Impex Australia Fatos Omar Othman dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya merasakan bahawa bantuan kecil untuk menyediakan makanan tradisional Malaysia buat para pelajar juga dapat membantu mengubat kerinduan mereka yang berada jauh dari kampung halaman dan keluarga.

SD Impex, sebuah syarikat makanan dan minuman yang berpusat di Malaysia mempunyai cawangan di Australia dan beberapa lokasi lain di luar negara, memiliki dan menguruskan jenama Asian Taste.

Syarikat lain di bawah kumpulan itu termasuk Ladangku Maju, Brew Crew, Lada Merah, JM Bariani, Mozer's On The Go dan Nakanishi.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan