Solat di masjid negeri, bandar, jajahan di Kelantan dibenarkan - MAIK

06/05/2021 08:02 PM

KOTA BHARU, 6 Mei  -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di seluruh masjid negeri, bandar dan jajahan bermula hari ini hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran itu adalah untuk 70 peratus daripada kapasiti masjid selepas mengambil kira penjarakan jemaah dalam saf dengan jarak dua meter.

“Bagaimanapun, aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus Al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan.

“Kebenaran ini adalah bagi memberi peluang kepada kaum muslimin dan muslimat untuk beribadat di masjid-masjid berkenaan pada hari-hari terakhir Ramadan ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan itu berkata memandangkan kes COVID-19 menunjukkan penurunan di Jajahan Gua Musang, pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid-masjid mukim di jajahan berkenaan adalah dibenarkan. 

Beliau berkata kebenaran itu dibenarkan dengan 70 peratus kapasiti masjid dan penjarakan antara jemaah adalah dua meter manakala aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus Al-Quran dan iktikaf adalah tidak dibenarkan. 

Tengku Mohamad Rizam berkata perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla.

“Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan mematuhi SOP ini dan bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya. 

Kelantan berada di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 April hingga 17 Mei dan hari ini, negeri itu mencatat 326 kes baharu COVID-19

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan