Raja, Raja Perempuan Perlis rai warga emas, anak yatim dan pengamal media

07/05/2021 10:54 AM

ARAU, 7 Mei -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan meraikan dan mengurniakan sumbangan kepada warga emas, anak yatim dan pengamal media pada majlis iftar di Istana Arau di sini, malam tadi.

Kesemua 24 warga emas dari empat rumah iaitu Rumah Seri Kenangan Kangar, Pusat Warga Emas Durani, Alor sena, Pusat Aktiviti Warga Emas Jejawi, Arau dan Pusat Aktiviti Warga Emas YIP’s, Kangar menerima sumbangan berupa pakaian dan wang ringgit.

Turut dirai ialah 20 anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Arau, Mata Ayer dan lapan pengamal media Perlis.

Berangkat sama pada majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan exco Perlis.

Terdahulu Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM11,680,080 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 34 institusi pendidikan Islam di seluruh Perlis yang tersenarai di bawah Peruntukan Tahunan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2021.

Sementara itu, seorang penerima Muhamad Ramli Ahmad, 68, dari Rumah Seri Kenangan berkata pengalaman berbuka puasa di istana merupakan pengalaman pertama beliau.

“Saya rasa seronok dapat berpuasa bersama-sama Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis dan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan saya di bulan yang mulia ini (Ramadan),” katanya yang menyifatkan baginda berdua, sebagai raja yang prihatin tentang rakyat.

Pengetua Rumah Kanak-Kanak Arau Rohaida Ismail pula berkata kesemua 20 anak yatim dari rumah itu meluahkan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang buat pertama kali berbuka puasa bersama-sama baginda berdua.

“Saya rasa seronok apabila dapat melihat ‘anak saya’ (penghuni  Rumah Kanak-Kanak Arau) terutama yang paling kecil berumur  lima tahun makan dengan berselera sekali,” katanya menambah anak-anak yatim itu juga berpeluang melihat pameran dan memahami adat istiadat istana serta institusi diraja.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan