13 ekor lembu 'naik perahu' rentas Sungai Golok

08/05/2021 11:48 AM

KOTA BHARU, 8 Mei  -- Ekoran permintaan daging yang tinggi, sekumpulan lelaki menyeludup masuk 13 ekor lembu bernilai RM91,000 dari Thailand, menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok di pangkalan haram Mek Gombak, Rantau Panjang, Pasir Mas, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata hasil maklumat yang diterima sepasukan anggota Strike Force PGA7 membuat pemerhatian awal di tebing Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Mek Gombak kira-kira 10.30 pagi. 

"Hasil pemerhatian anggota bertugas mendapati beberapa lelaki yang tidak dikenali mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari sebelah sempadan Thailand ke Malaysia. 

“Seterusnya anggota PGA7 telah mengekori kumpulan lelaki yang mengheret lembu itu ke dalam hutan berhampiran dipercayai untuk disembunyikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya menyedari kehadiran pihak PGA7, kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu tersebut bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan melepaskan tali-tali yang terikat pada lembu. 

Azhari berkata pasukan Strike Force cuba mengejar tetapi tidak berjaya mengesan kumpulan lelaki tersebut yang disyaki sudah menghilangkan diri ke dalam hutan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran, pihak PGA7 menemukan 13 ekor lembu. Pasukan serbuan menunggu selama 30 minit di kawasan semalam berdekatan tetapi tiada individu datang menuntut lembu-lembu tersebut.

“Difahamkan, kesemua lembu itu diseludup masuk ekoran permintaan yang tinggi di sini terhadap daging lembu pada bulan Ramadan selain harga daging yang meningkat tinggi sekarang," katanya.

Katanya ekoran kejadian itu pihak PGA7 bertindak merampas kesemua lembu tersebut dan membuat laporan polis di Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan agensi yang berkaitan. 

"Kesemua lembu yang dirampas dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan  Malaysia ( Maqis ) 2011,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan