Belia Kampung Tradisi Lembah Keriang pasang 600 pelita untuk sambutan Aidilfitri

08/05/2021 02:31 PM

JITRA, 8 Mei  -- Menjelang sambutan 1 Syawal yang bakal tiba, sekumpulan anak muda dari Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun dekat sini berganding bahu memasang lebih 600 pelita di sepanjang dua kilometer jalan utama kampung itu.

Walaupun dijangkakan kemeriahan sambutan Aidilfitri mungkin berbeza tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah dan PKP Pemulihan di daerah lain di negeri ini, inisiatif tersebut tetap dilakukan bagi memastikan tradisi dan warisan terus dihidupkan.

Menurut penyelaras program pemasangan pelita itu, Jamil Jaafar, 56, usaha memasang pelita di sepanjang jalan utama kampung itu telah pun dirancang sejak awal Ramadan lalu dengan ideanya dicetuskan oleh golongan belia di situ.

“Pada awal puasa lalu ada perbincangan kalangan belia dalam kampung ini dan mereka datang kepada saya dan mencadangkan untuk memasang pelita di sepanjang jalan utama bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung ini.

“Saya bersama penduduk kampung berpakat untuk mengutip dana bagi melaksanakan program ini yang turut mendapat kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Ibnu Sina di kampung ini agar program ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Jamil berkata pemasangan pelita itu dianggarkan menelan belanja sekitar RM3,000 melibatkan pembelian pelita, minyak diesel dan peralatan lain.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi Lembah Keriang, Abu Kassim Othman, 66, berkata pihaknya amat mengalu-alukan inisiatif golongan belia kampung itu dalam mengekalkan tradisi memasang pelita menjelang sambutan Aidilfitri.

“Saya mewakili pihak masjid di sini, kami sentiasa memberi sokongan penuh dengan apa jua mereka laksanakan dan inilah satu penanda aras yang baik bagi penyatuan masyarakat di sini yang hidup berkomuniti malah dapat memberi dorongan di tempat lain supaya boleh ikut cara ini,” katanya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Tradisi Lembah Keriang, Md Soleh Md Zain, 67, sebagai sebuah kampung tradisi inisiatif memasang pelita itu dilihat dapat mengekalkan ciri-ciri kehidupan di kampung itu yang menjadi amalan sejak sekian lama selain menghidupan keharmonian dalam masyarakat.

“Hampir semua penduduk sebenarnya terlibat dalam aktiviti menceriakan kawasan kampung ini dan di sini kami sudah dikenali sebagai kampung tradisi dan kami cuba mengekalkan tradisi kami dengan pasang pelita, harapan kami agar dapat mengeratkan hubungan semua penduduk kampung tradisi ini,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan