Premis tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup tiga hari serta merta

08/05/2021 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei -- Premis termasuk Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes COVID-19, akan diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti penguatkuasaan bagi semua premis akan dipantau oleh Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan juga ingin memaklumkan, semua Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup bermula Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem HIDE, dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan COVID-19, dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Terdahulu, kerajaan telah menerbitkan senarai HIDE pertama premis perniagaan yang dikenal pasti sebagai titik panas COVID-19, yang berpotensi mendatangkan risiko penularan wabak tersebut.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri berkata, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis tidak dibenarkan berkuatkuasa Isnin ini (10 Mei) hingga 6 Jun di seluruh negara.

Semua aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam serta aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta di seluruh negara, juga tidak dibenarkan bagi tempoh sama.

“Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata aktiviti sukan dan rekreasi individu dan tidak bersentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter yang dijalankan di kawasan terbuka dibenarkan bagi tujuan kesihatan.

“Pada ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti prosdur operasi standard (SOP) dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, maka kerajaan akan mendapatkan nasihat dan juga penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya.

Berhubung tangkapan ingkar SOP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 332 individu ditahan atas kesalahan tersebut semalam dan daripada jumlah itu, seramai 331 individu dikompaun manakala seorang lagi direman.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan