Serba Dinamik hulur RM500,000 sumbangan Ramadan

10/05/2021 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Bagi meraikan kemuliaan Ramadan tahun ini, Serba Dinamik Holdings Berhad menerusi Serba Care Team telah menyampaikan pelbagai sumbangan bernilai RM500,000, melalui cawangan operasinya.

Pengerusi Serba Care Team Syaiful Radzman Osman berkata pihaknya telah menyantuni pelbagai golongan masyarakat sepanjang bulan mulia itu seperti B40, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, gelandangan dan petugas barisan hadapan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ia termasuk pengagihan lebih 4,000 pek makanan untuk berbuka puasa di seluruh negara dan 2,000 bakul makanan dan keperluan asas kepada golongan gelandangan di tujuh kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain itu pihaknya turut menyumbang RM1,000 bagi setiap keluarga yang layak menerima zakat asnaf membabitkan enam lokasi di cawangan syarikatnya, bagi membantu mereka menampung perbelanjaan pada bulan mulia ini. 

“Melalui program ini, kita mengambil inisiatif berkongsi rezeki dan meraikan ketibaan bulan Ramadan selain ia merupakan kaedah terbaik untuk membolehkan syarikat ini menzahirkan rasa terima kasih kepada DBKL dan mendekati masyarakat di Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam,” katanya dalam satu  kenyataan hari ini. 

Syaiful Radzman berkata selain aktiviti di bulan Ramadan, pihaknya juga mengadakan majlis berbuka puasa, solat tarawih dan sesi motivasi bersama lebih 10 rumah perlindungan di seluruh Malaysia.

Rangkaian kerjasama itu melibatkan beberapa anak syarikat Serba Dinamik termasuk Halal2go, ESPC, Easybuybye dan juga Syarikat SD Impex Sdn Bhd (SDI) seperti Asian Taste, AT Mart dan JM Bariani.

Serba Dinamik Holdings Berhad merupakan firma perkhidmatan tenaga antarabangsa yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan kepada industri penjanaan tenaga serta minyak dan gas.

-- BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan