KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Biarpun terpaksa beraya hanya di rumah masing-masing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak menghalang warga kota untuk membuat persiapan saat-saat akhir menjelang Aidilfitri yang bakal tiba pada Khamis ini.
Tinjauan Bernama di Pasar Chow Kit di sini hari ini mendapati orang ramai sibuk membeli barangan basah dan keperluan untuk memasak juadah yang akan dijamu kepada ahli keluarga pada hari lebaran nanti.
Bagi Ariff Zakaria, 31, Pasar Chow Kit menjadi pilihan untuk mendapatkan barangan basah seperti daging, ayam dan sayur kerana lebih banyak pilihan selain barangan yang dijual juga segar dan murah.
“Saya mengambil cuti hari ini bagi membantu isteri membuat persiapan, biarpun kita semua dalam PKP, namun hari kemenangan pada Khamis ini perlu diraikan walaupun hanya dalam kalangan ahli keluarga berikutan SOP yang ditetapkan kerajaan tidak membenarkan aktiviti kunjung-mengunjung,” katanya kepada Bernama.
Penjawat awam, Mohd Shamsul Ramli, 45, pula berkata walaupun PKP akan bermula esok, beliau tidak bercadang membeli barangan basah dalam kuantiti banyak sebaliknya hanya untuk keperluan seminggu.
"Ini sudah masuk tahun kedua saya tidak beraya di Negeri Sembilan kerana larangan rentas negeri, namun kami masih menyediakan juadah raya bagi mengekalkan suasana dan semangat raya," katanya.
Sementara itu, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, orang ramai terus berkunjung ke lokasi berkenaan untuk membeli pakaian raya di premis dan butik yang masih dibuka walaupun Bazar Aidilfitri telah dihentikan operasi bermula semalam.
Seorang guru, Zulieazra Alyas, 36, berkata kesibukan tugas harian menyebabkan beliau terpaksa berbelanja pada saat-saat akhir.
"Tak sangka akan ada PKP dan larangan rentas daerah saat akhir macam ni, saya dah tempah kuih raya yang banyak sebelum Ramadan untuk beraya di Sungai Buloh," katanya yang datang untuk membeli baju raya buat keluarga termasuk tiga anaknya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun. Ia merupakan kali kedua warga kota perlu akur untuk beraya di ibu kota susulan larangan rentas negeri.
-- BERNAMA
PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Berita
• Rohani Ramadan
• Waktu Berbuka
• Video
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan