Malaysia kutuk serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin

11/05/2021 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan oleh tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza semalam yang telah mengakibatkan kematian dan kecederaan terhadap rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata serangan pada hari-hari terakhir bulan suci Ramadan itu disifatkan biadab dan tidak menghormati bukan sahaja umat Islam di seluruh dunia, tetapi umat manusia secara keseluruhan.

“Serangan kejam, melampau dan keterlaluan oleh Israel ini secara keseluruhan dan terang-terangan menyalahi undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menuntut Israel untuk segera menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki termasuk yang berada di Semenanjung Gaza.

‘Kekerasan secara berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, terutamanya pada bulan suci Ramadan, tidak boleh diterima sama sekali dan rejim itu wajib dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia turut mengulangi rasa kesal dengan serangan ganas dan pencerobohan berterusan tentera rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadat di Masjid Al-Aqsa sejak Jumaat lalu, serta pengusiran rakyat Palestin yang tinggal di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas dan mendesak Israel menghentikan segera kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Katanya masyarakat antabangsa tidak boleh menutup mata dan berdiam diri serta tidak menghiraukan kekejaman yang dilakukan oleh rejim itu, sebaliknya perlu bersama-sama menggembleng usaha bagi melindungi rakyat Palestin daripada tindakan ganas Israel.

Menurutnya dalam waktu-waktu sukar ini, Malaysia akan sentiasa memberi sokongan padu dan mengukuhkan solidariti dengan rakyat Palestin.

“Malaysia juga turut mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, satu-satunya penyelesaian terbaik dalam konflik Palestin-Israel,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan